Satu-satunya mangsa yang terselamat dalam nahas kemalangan jalan raya pada Jumaat lalu sehingga mengorbankan enam ahli keluarga kini dilaporkan stabil dan mulai sedar. Mangsa iaitu Abdullah Amir Ruddin, 15, yang dimaklumkan kritikal sejak hari kemalangan semakin menunjukkan perkembangan positif sepanjang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Segamat.
Adik Dah Stabil Dan Boleh Gerakkan Tangan
“Alhamdulilah, adik dah sedar dan boleh menggerakkan tangan. Paling menggembirakan bila adik pegang tangan ahli keluarga kami ketika melawatnya di ICU, kami bersyukur dengan perkhabaran gembira itu. Sejak hari pertama kejadian, kami sentiasa berdoa semoga adik cepat sembuh kerana kami takut kehilangan seorang lagi ahli keluarga.
“Saya dimaklumkan, kebanyakan wayar yang dipasang di tubuhnya sudah dicabut. Cuma saya dimaklumkan adik akan menjalani pembedahan memasukkan besi di tangan pada 16 September ini”, kata Abdur Rahman semasa ditemu ramah media di rumah neneknya yang terletak di Kampung Parit Lapis Darat, Parit Jawa, Rabu.
Nenek Reda Dengan Pemergian Anak, Menantu Dan Cucu Tersayang
Berdasarkan sumber yang dilihat dari BH Online, OUM Batu Pahat telah membuat kunjungan untuk berjumpa dengan ahli keluarga mangsa bagi menyampaikan sumbangan khas serta meneliti bantuan lain untuk diberikan kepada mereka. Dalam pada itu, nenek kepada Abdur Rahman, Noriah Mohd Nor sempat meluahkan rasa reda dengan ketentuan yang telah ditetapkan Tuhan atas kejadian yang menimpa anak, menantu serta cucunya dalam tragedi yang tidak mungkin dapat dilupakan itu.
“Arwah sekeluarga sudah berjumpa datuk mereka di sana. Kami di sini hanya mampu berdoa untuk mereka semua. Selama ini, apabila melihat sesuatu kejadian, saya sedekah al-Fatihah tetapi bila berlaku ke atas keluarga saya, barulah kita tahu bagaimana kesedihan ditanggung mereka sebelum ini. Cuma saya rindu suara mereka sekeluarga terutama anak-anaknya, setiap kali datang suara mereka akan memecahkan keheningan di rumah ini”, ujarnya.
Info tambahan, kemalangan berlaku ketika mereka sekeluarga dalam perjalanan dari Kluang menghantar Noorahimah (ibu) yang mengajar di Sekolah Agama Kemedak dekat Segamat.
Kredit: BH Online