Seorang bapa tidak dapat menahan kesedihan apabila mengetahui anak lelakinya yang berusia 14 tahun merupakan individu disyaki terbabit dalam kejadian tikaman hingga meragut nyawa seorang pelajar perempuan berusia 16 tahun di sebuah sekolah menengah di Bandar Utama semalam.
Bapa Remaja Tikam Rakan Sekolah Luah Rasa Hancur, Akui Tak Sangka Anak Mampu Lakukan Sedemikian
Dalam temu bual bersama China Press, lelaki berusia 40 tahun itu meluahkan rasa hancur dan tidak menyangka anaknya mampu melakukan tindakan sekejam itu. Katanya, tiada kata maaf yang mampu menghapuskan kesakitan keluarga mangsa serta menggantikan kehilangan anak mereka.
“Saya benar-benar tidak tahu bagaimana untuk berdepan dengan keluarga mangsa. Apa sahaja yang saya katakan sekarang tidak akan mengubah apa yang sudah berlaku,” ujarnya dalam nada sebak.
Menurutnya, hari kejadian bermula seperti biasa apabila dia menghantar anaknya ke sekolah pada waktu pagi tanpa sebarang petanda mencurigakan. Katanya, remaja itu tidak menunjukkan sebarang kelakuan ganjil, malah kelihatan seperti hari-hari biasa.
“Anak saya seorang yang agak pendiam dan lebih suka memendam perasaan. Jika dia berdepan masalah di sekolah, sama ada dibuli atau sebaliknya, dia tidak akan berkongsi dengan saya,” katanya.
Tambahnya, walaupun prestasi akademik anaknya agak lemah dan kurang fokus dalam pelajaran, dia tidak pernah melihat anak itu sebagai seorang yang bermasalah atau cenderung bertindak agresif. Malah, dia turut mendakwa tidak pernah mendengar sebarang cerita berkaitan mangsa sebelum tragedi berdarah itu berlaku.
“Semua ini terlalu mengejutkan. Saya benar-benar tidak sangka anak saya mampu bertindak sedemikian. Tiada kata-kata yang mampu menggambarkan rasa kesal saya,” katanya lagi dengan nada pilu.
Sementara itu, Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) memaklumkan bahawa siasatan berhubung dakwaan suspek mempunyai masalah kesihatan mental diserahkan sepenuhnya kepada pihak polis bagi memastikan segala fakta dapat disahkan dengan tepat.
Kredit: Berita Harian