Dua tiga hari ini kita telah dihidangkan dengan isu mengenai keperluan scan atau check in di aplikasi MySejahtera ketika mengisi minyak di petrol station.
Ada yang menyatakan sesiapa yang tidak berbuat demikian, mereka boleh dikenakan kompaun sehingga RM1,000.
Persoalan ini telah menjadi perbahasan setiap netizen dan juga orang ramai. Ditambah pula ia mempunyai pendapat yang bercanggah dari dua operator hotline Majlis Keselamatan Negara (MKN) yang ditanya sama ada perlu untuk mendaftar (scan) aplikasi MySejahtera atau tidak.
Dua operator MKN mempunyai pendapat bercanggah
Malah semalam pihak polis turut menyatakan bahawa kegagalan berbuat demikian boleh dikenakan hukuman. Perkara itu dinyatakan sendiri oleh Timbalan Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman DCP Datuk Mior Faridalathrash Wahid.
Menurutnya, orang ramai yang bertandang ke stesen minyak untuk mengisi minyak perlu mendaftarkan diri dengan MySejahtera meskipun tidak memasuki premis.
Jika orang ramai tidak mendaftar, bagaimana pihak berkuasa boleh menjejaki mereka seandainya terdapat kes Covid-19 di kawasan terbabit?
Walau bagaimana pun, menurut sumber berita dari Sin Chew Daily, seorang operator ada mengatakan tidak perlu scan MySejahtera jika pengguna membayar menggunakan kad kredit secara terus di pam minyak tanpa masuk ke dalam stesen. Malah jika individu tersebut dikenakan kompaun, mereka boleh merayu.
Namun seorang lagi operator pula menyataan bahawa pendaftaran MySejahtera adalah wajib walaupun pengguna tidak pergi ke kaunter pembayaran di stesen minyak.
Jelasnya, stesen minyak adalah kawasan awam dengan jumlah pelanggan yang tinggi maka mandatori untuk orang ramai memakai pelitup muka, mendaftar MySejahtera dan membuat pemeriksaan suhu.
Tak perlu imbas untuk isi minyak – Persatuan Pengusaha Stesen Minyak
Menurut Persatuan Pengusaha Stesen Minyak Malaysia (PDAM) menjelaskan orang ramai hanya perlu mengimbas kod QR MySejahtera ketika memasuki premis, menggunaakan surau dan tandas sahaja.
Perkara itu dijelaskan Presiden PDAM, Datuk Khairul Annuar Abdul Aziz yang menjelaskan bahawa mereka telah diarahkan untuk hanya mendaftarkan pelanggan yang memasuki premis.
Jelasnya, tiada keperluan untuk mengimbas kod QR MySejahtera jika hanya mengisi minyak.
Kami diberitahu bahawa kod QR dan pemeriksaan suhu hanya perlu dilakukan oleh pelangggan yang memasuki kedai, surau dan tandas.
Tiada keperluan untuk melakukannya jika tidak memasuki kawasan ini.
Pada masa sama, Khairul menjelaskan bahaya menggunakan telefon pintar berhampiran pam minyak.
Imbas jika masuk ke premis sahaja
Terkini, menurut laporan media tempatan, pihak Pusat Kesiapsiagaan Dan Tindak Cepat Krisis (CPRC) turut menjelaskan bahawa orang ramai hanya perlu mengimbas kod QR MySejahtera jika hendak memasuki premis.
Perjumpaan singkat seperti mengisi petrol di stesen minyak atau membuat pembayaran tidak perlu mengimbas MySejahtera.
Seorang pegawai Majlis Keselamatan Negara (MKN) mengesahkan perkara itu.
Tidak boleh guna telefon pintar di stesen minyak
Sebenarnya agak sukar untuk mengimbas kod MySejahtera kerana ia tidak ditampal di setiap pam petrol. Sebaliknya ia terdapat di kaunter pembayaran atau pintu masuk kedai stesen minyak sahaja.
Tetapi pengunjung tidak perlu pergi ke kaunter atau kedai apabila membuat bayaran terus di mesin kad di pam petrol, atau menggunakan aplikasi Setel di Petronas.
Lebih mengelirukan apabila pengunjung tidak dibenarkan menggunakan telefon pintar semasa berada di stesen minyak. Jika mengimbas kod QR MySejahtera adalah wajib semasa mengisi petrol, maka pengusaha stesen perlu menyediakan kod QR MySejahtera yang besar di setiap pam petrol agar boleh diimbas dari dalam kenderaan.
Sama juga dengan kes sebelum ini, dimana terdapat juga laporan yang menyatakan bahawa tidak perlu untuk memakai pelitup muka di stesen minyak. Walaupun ia tempat awam, jika berseorangan tidak ramai dan menjaga penjarakan fizikal, maka tidak perlu memakai pelitup muka