Seorang guru sekolah menengah Bahasa Inggeris bernama Siti Hajar Aflah Shaharuddin, 39, dihadapkan ke Mahkamah Majistret Sepang hari ini atas tuduhan menyebarkan kenyataan palsu berhubung kematian pelajar Tingkatan 1, Allahyarhamah Zara Qairina Mahathir.

Tertuduh bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Khairatul Animah Jelani.

Guru Mengaku Tak Bersalah Sebar Dakwaan Palsu Berkaitan Kematian Zara Qairina

Menurut kertas pertuduhan, Siti Hajar didakwa memuat naik kenyataan melalui akaun TikTok miliknya yang mendakwa Zara Qairina meninggal dunia selepas dimasukkan ke dalam mesin basuh. Dakwaan itu dipercayai boleh menimbulkan kegentaran awam serta mendorong kepada gangguan ketenteraman masyarakat.

Kesalahan itu didakwa dilakukan pada jam 1.20 petang, 6 Ogos lalu di Rawang, Selangor, dan kandungan berkenaan turut dikesan oleh pegawai polis di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).

Pendakwaan dijalankan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Nadia Mohd Izhar dan Christopher Enteri Mawan, mengikut Seksyen 505(b) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga dua tahun, denda atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.

Selain itu, tertuduh juga berdepan pertuduhan di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 kerana menyalahgunakan kemudahan rangkaian bagi menyebarkan maklumat palsu.

Peguam bela, Mohamad Zaiful Bahrin Kamde, memohon jaminan minimum atas alasan anak guamnya memberi kerjasama baik sepanjang siasatan, selain menyerah diri kepada pihak polis tanpa sebarang keengganan.

Katanya, tertuduh merupakan ibu tunggal kepada tiga anak berusia antara 10 hingga 12 tahun dan juga menanggung ibu bapa.

Selepas mendengar hujah kedua-dua pihak, mahkamah membenarkan jaminan RM4,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 4 Oktober depan untuk serahan dokumen.

Sebelum ini, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk M Kumar, mengesahkan penahanan seorang wanita di Rawang berhubung penyebaran maklumat tidak sahih berkaitan kematian Zara Qairina.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, turut mendedahkan guru berkenaan mengaku kandungan yang dimuat naik hanyalah sekadar ‘content’.

Allahyarhamah Zara Qairina, pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Agama Tun Datu Mustapha, ditemui tidak sedarkan diri berhampiran longkang selepas dipercayai terjatuh dari tingkat tiga asrama sekolah pada 16 Julai lalu. Beliau meninggal dunia sehari kemudian ketika menerima rawatan.

Kredit: Sinar Harian

 

 

 

 

[fbcomments]