fbpx

Seorang pelajar lelaki berusia 8 tahun dipercayai cedera di beberapa bahagian badan akibat disyaki dirotan gurunya dengan menggunakan batang paip polyvinyl chloride (PVC) di sebuah madrasah pada beberapa minggu yang lalu.

Berdasarkan sumber yang dipetik dari Berita Harian, difahamkan pelajar terbabit mempunyai kesan lebam teruk di bahagian punggung dan pinggang dan info tersebut dikongsikan oleh ibu saudara mangsa di laman Facebook pada malam semalam.

Pihak Polis Telah Menahan Ustaz Terbabit

Menurut Ketua Polis Daerah Sik iaitu Deputi Superintendan Abdull Razak Osman, beliau memaklumkan susulan kejadian itu pihak polis telah menahan seorang lelaki yang dipercayai Ustaz berusia 27 tahun yang juga merupakan tenaga pengajar di madrasah itu.

Abdull Razak berkata tangkapan tersebut dibuat tidak sampai 24 jam selepas laporan dibuat oleh ibu mangsa pada jam 9.24 malam pada 11 November lalu.

“Pengadu adalah seorang pengusaha taska di Pulau Pinang, mendakwa datang ke madrasah itu secara mengejut untuk membawa anak angkatnya yang juga kanak-kanak warga negara Indonesia untuk makan. Namun sebaik tiba di kedai makan, anak angkatnya itu mengadu sakit sewaktu hendak duduk. Pengadu bagaimanapun terkejut melihat kesan lebam pada tubuh mangsa dan terus datang ke Balai Polis Sik untuk membuat laporan,” katanya.

Abdull Razak berkata, sejurus laporan yang diterima pada jam 10.38 pagi pada keesokan hari, sepasukan polis melakukan tangkapan terhadap ustaz terbabit di madrasah berkenaan.

Rotan Pelajar Guna PVC Sampai Lebam Dan Bengkak

Mengulas lanjut, hasil siasatan mendapati suspek menggunakan sebatang paip PVC yang mengakibatkan mangsa mengalami lebam teruk serta bengkak di badan.

“Pemeriksaan pakar perubatan mengesahkan mangsa mengalami ‘soft tissues injuries. Suspek direman mengikut Seksyen 117 Kanun Prosedur Jenayah hingga 16 November lalu dengan kes sudah pun dirujuk kepada timbalan pendakwa raya negeri. Suspek dijangka akan dituduh mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 dengan semakan mendapati dia tidak mempunyai rekod lampau”, ujarnya lagi.

Mangsa Masih Trauma Dengan Kejadian Itu

Berdasarkan perkongsian ibu saudara mangsa di laman Facebook pula, difahamkan wanita itu mendakwa kakaknya adalah ibu angkat mangsa dan dia masih trauma dengan kejadian itu. Katanya pada hari kejadian, kanak-kanak itu hanya berdiri di kedai makan dan enggan duduk sebelum ibu angkatnya itu meminta membuka seluar untuk melakukan pemeriksaan.

“Menggigil kakak dan emak saya (nenek angkat mangsa) apabila tengok kesan rotan. Keadaan ini bukan biasa-biasa dan kakak terus hubungi pihak sekolah, namun pengurusan tak mengaku salah sebaliknya menyalahkan anak angkat itu kerana katanya dia nakal. Memang dia nakal dan aktif malah keluarga juga ada marah serta rotan (untuk mendidik) tetapi apa yang dilakukan ini nampak bukan seperti rotan atau denda biasa kerana kalau dikira-kira pada tubuh badan, mungkin 16 sebatan atau lebih dan alat digunakan bukan rotan biasa sebaliknya batang paip,” katanya.

Jelas ibu saudara mangsa lagi, kes masih dalam siasatan dan semoga pihak madrasah dapat ambil pengajaran dan tanggungjawab.

Kredit: Berita Harian

[fbcomments]