Personaliti media sosial terkenal, Aisar Khaled, tampil menghulurkan bantuan secara langsung kepada penduduk yang terjejas akibat banjir besar di Sumatera kira-kira sebulan lalu. Kehadirannya di lokasi terjejas mencuri perhatian ramai, khususnya dalam kalangan masyarakat Indonesia yang mengikuti usaha kemanusiaannya.
@aisarkhaledd 1 bulan kehidupan tiada listrik , aceh tamiang berduka 🥀 #bencana #aceh #tamiang
Aisar Khaled Turun Padang Hulur Bantuan Elektrik dan Internet Kepada Mangsa Banjir di Sumatera
Menerusi perkongsian di media sosial, Aisar memaparkan usahanya menyalurkan semula bekalan elektrik sementara kepada penduduk di Aceh Tamiang, yang dilaporkan terpaksa hidup tanpa bekalan elektrik selama hampir sebulan. Usaha tersebut dilihat sebagai satu kelegaan besar buat penduduk setempat yang sekian lama bergelut dalam keadaan serba kekurangan.
Aisar turut meluahkan rasa sebak melihat situasi yang dialami penduduk di Batu Sumbang, Aceh Timur. Beliau menzahirkan perasaan itu menerusi kapsyen ringkas bertulis, “Merayakan kehidupan elektrik buat sementara,” yang menggambarkan betapa bermaknanya kemudahan asas itu buat penduduk di kawasan terlibat.
![]()
Selain bekalan elektrik, Aisar juga mengambil inisiatif menyediakan capaian Internet dengan memasang peranti Starlink bagi kegunaan komuniti setempat. Rakaman video yang dimuat naik menunjukkan penduduk bersorak kegembiraan apabila bekalan elektrik dan Internet berjaya dihidupkan, sekali gus memberi sinar harapan baharu selepas tempoh yang panjang dilanda kesukaran.
Dalam suasana penuh emosi itu, seorang penduduk meluahkan rasa terharu apabila akhirnya dapat melakukan panggilan video untuk bertanya khabar ahli keluarganya, sesuatu yang tidak dapat dilakukan sebelum ini akibat ketiadaan bekalan elektrik dan Internet.
Keprihatinan yang ditunjukkan Aisar menerima pujian meluas daripada warganet Indonesia, yang rata-rata kagum dengan kesungguhannya membantu mangsa banjir secara langsung tanpa bergantung kepada sebarang jawatan, kedudukan atau peruntukan rasmi.
![]()
Kredit: TikTok aisarkhaledd