Seorang lelaki warga emas berusia 60 tahun dilaporkan meninggal dunia akibat strok hanya selang dua jam sahaja selepas pemergian isterinya pada Rabu semalam.
Meninggal Dunia Selang 2 Jam
Menerusi sumber Kosmo! Online, difahamkan pasangan tersebut berasal dari Felda Air Tawar 4, Kota Tinggi, Johor dan kedua-dua pasangan itu meninggal dunia hanya selang dua jam akibat penyakit yang dihidapi mereka. Mohamad Basar, 60, meninggal dunia akibat strok tidak lama selepas menerima maklumat tentang kematian isterinya iaitu Norazizah Jasri, 60, pada awal pagi semalam akibat jangkitan kuman dalam paru-paru.
Menurut Ketua Polis Daerah Kota Tinggi iaitu Superintendan Hussin Zamora, beliau memaklumkan bahawa Norazizah telah dirawat di Hospital Kota Tinggi (HKT) sejak Isnin lalu akibat jangkitan paru-paru.
“Pasangan berkenaan tinggal berdua sahaja di rumah Blok B1, Felda Air Tawar 4 dan dimaklumkan tidak dikurniakan anak. Pada Isnin isterinya telah dihantar ke HKT untuk menerima rawatan akibat jangkitan paru-paru. Menjelang waktu subuh hari ini pukul 3 pagi dia disahkan meninggal dunia di wad HKT. Punca kematiannya akibat kegagalan fungsi organ dalaman. Kira-kira pukul 4 pagi difahamkan jiran telah hadir ke rumah suaminya untuk memaklumkan tentang berita kematian tersebut dan mendapati suami kepada si mati tidak sedarkan diri di ruang bilik solat rumah tersebut,” jelasnya.
Selamat Dikebumikan Bersama
Hussin turut menambah jiran tetangga pasangan ini terus menghantar mangsa ke HKT untuk mendapatkan rawatan lanjut sebelum Allahyarham disahkan meninggal dunia sekitar jam 5 pagi. Kedua-dua pasangan ini telah selamat dikebumikan pada pagi semalam pada jam 11.30 pagi di Tanah Perkuburan Islam, Felda Air Tawar 4, Kota Tinggi, Johor.
Kredit: Kosmo! Online