Penyanyi dan bekas peserta Akademi Fantasia 6, Ahmad Nubhan Haji Ahamad, dijangka menghadiri prosiding pengesahan lafaz cerai terhadap isterinya, Dr. Afifah Hidayah Ahmad Tawfek, di Mahkamah Rendah Syariah Sepang pada Khamis. Difahamkan, prosiding tersebut merupakan sebutan pertama bagi kes berkenaan.
Nubhan dan Isteri Bakal Bercerai Selepas 10 Tahun Berkahwin
Menurut sumber terdekat, Nubhan telah memfailkan permohonan pengesahan lafaz talak itu pada awal bulan lalu. Pasangan berkenaan dikatakan akan hadir bersama peguam masing-masing untuk proses pengesahan.
“Setakat yang dimaklumkan, prosiding esok adalah bagi pengesahan lafaz talak yang difailkan oleh Nubhan. Untuk tarikh sebenar lafaz cerai itu dibuat, hanya dia yang boleh mengesahkannya,” ujar sumber tersebut.
Difahamkan, pasangan itu sudah tidak tinggal bersama sejak Ogos lalu dan kini membawa haluan masing-masing. Tiga anak mereka yang masih kecil kini berada di bawah jagaan Dr. Afifah. Dalam masa sama, peguam yang mewakili Afifah, Datuk Akberdin Abdul Kader, turut mengesahkan kehadiran anak guamnya di mahkamah bagi prosiding esok.
Menurutnya, Nubhan didakwa melafazkan talak terhadap isterinya ketika mereka berada di dalam kereta pada penghujung Ogos tahun ini.
“Setakat ini, belum dapat dipastikan sama ada mahkamah akan terus mengesahkan perceraian mereka esok kerana kebiasaannya, siasatan perlu dijalankan terlebih dahulu,” jelasnya.
Nubhan dan Afifah mendirikan rumah tangga pada 29 Ogos 2015 selepas hampir setahun bertunang. Hasil perkahwinan tersebut, mereka dikurniakan tiga cahaya mata iaitu Aafiya, 8, Ahmad Aaffan, 6, dan Afzan Nayille, 3.
Kredit: Kosmo!