fbpx

Selepas 50 tahun permohonan pembinaan dikemukakan, akhirnya Masjid pertama di Slovenia dibuka di ibu kota ini.

Usaha yang melebihi separuh abad itu akhirnya berjaya selepas mengatasi masalah kewangan dan tentangan pelampau kanan.

Mendapat tentangan hebat

Masyarakat akhirnya mendapat kebenaran untuk membina masjid 15 tahun yang lalu, tetapi projek pembinaan ini mendapat tentangan yang hebat, termasuk pihak yang mengkritik sumbangan dari Qatar.

Malah mereka cuba berulang kali menghentikannya dengan sering mencampakkan kepala dan darah babi ke tapak pembinaan masjid.

Titik perubahan dalam kehidupan

Ketua masyarakat Islam, Mufti Nedzad Grabus berkata pembukaan masjid itu adalah “titik perubahan dalam kehidupan.”

“Slovenia adalah bekas negeri Yugoslavia yang terakhir untuk mendapatkan masjid, menjadikan Ljubljana sebagai ibu negara dan bukan sebuah daerah di pinggir dunia.” katanya pada sidang akhbar.

Umat ​​Islam di negara majoriti Katolik Alpine itu pertama kali mengajukan permintaan untuk membina sebuah masjid pada akhir 1960-an ketika Slovenia masih merupakan sebahagian daripada bekas negara Komunis Yugoslavia.

Mula dibina pada tahun 2013

Pada tahun 2013, pembinaan masjid telah bermula dengan belanja kira-kira 34 juta euro (RM155 juta).

Kerajaan negara Qatar dilaporkan telah menderma sebanyak 28 juta euro (RM127 juta) untuk menyiapkan pembinaan tersebut.

Kubah besar masjid berwarna biru

Kubah besar masjid ini yang berwarna kebiru-biruan agak menyerupai reka bentuk terkenal Masjid Sultan Ahmed di Istanbul, Turki era Khalifah Uthmaniah yang juga digelar Masjid Biru.

Dianggarkan ada 80,000 Muslim yang membentuk 2.5 peratus daripada keseluruhan penduduk Slovenia berjumlah dua juta orang, sekali gus muncul agama kedua terbesar selepas Katholik.

Menampung 1,400 jemaah dalam satu masa

Semua bangunan itu diperbuat daripada konkrit putih digabungkan dengan besi, kaca dan kayu. Masjid ini terletak di kawasan semi-industri Ljubljana dan mampu menampung hingga 1,400 jemaah dalam satu masa.

Ia turut mengandungi pejabat komuniti Muslim, institusi pendidikan, perpustakaan, restoran, gelanggang bola keranjang, kuarters rumah imam dan sebuah menara setinggi 40 meter.

[fbcomments]