Seorang kanak-kanak lelaki berusia tujuh tahun yang cedera parah akibat dipukul dengan tukul oleh bapa saudaranya akhirnya meninggal dunia selepas seminggu bertarung nyawa.

Kanak-Kanak Mangsa Pukul Tukul Meninggal Dunia Selepas Seminggu Bertarung Nyawa

Mangsa, Muhammad Ammar Muhammad Badrul, disahkan meninggal dunia pada jam 3.02 petang di Hospital Pakar Universiti Sains Malaysia (HPUSM).

Perkara itu dimaklumkan sendiri oleh ibu bapanya menerusi hantaran status WhatsApp, yang turut mengajak orang ramai sama-sama menghadiahkan doa serta bacaan Al-Fatihah untuk arwah.

“Assalamualaikum, anak saya Muhammad Ammar sudah kembali ke negeri asal… sama-sama sedekahkan Al-Fatihah,” tulis bapa mangsa.

Menurut ibunya, Nur Ayuni Mohd Kamarulzaman, beliau reda dengan ketentuan Ilahi meskipun sebelum ini sempat menyatakan harapan agar anak sulungnya kembali sedar. Kelmarin, doktor memaklumkan keluarga agar bersedia menerima sebarang kemungkinan selepas jantung mangsa berhenti berdegup selama kira-kira 14 minit.

Dalam insiden minggu lalu, kanak-kanak tersebut mengalami kecederaan serius pada kepala selepas dipercayai dipukul dengan tukul oleh bapa saudaranya di sebuah rumah kedai di Jelawat, Bachok. Kesan pukulan itu menyebabkan pendarahan serta bengkak otak sehingga memerlukan lebih 50 jahitan.

Tidak lama selepas kejadian, suspek berusia 30-an ditemukan meninggal dunia berhampiran Pantai Melawi.

Kredit: Harian Metro

[fbcomments]