Pelawak dan usahawan terkenal iaitu Shuib menarik nafas lega apabila difahamkan beliau sudah menyelesaikan isu culas bayaran caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) syarikat minuman Bubble Bee nya yang pernah menjadi perhatian ramai pada beberapa minggu yang lalu.

Sudah Selesaikan Tunggakan Hutang

Berdasarkan sumber yang dipetik dari OhBulan!, Shuib atau nama sebenarnya Shahmira Muhammad memaklumkan bahawa beliau sudah berhubung dengan pihak KWSP bagi menyelesaikan masalah tunggakan yang melibatkan kira-kira seramai 300 pekerja. Menurut Shuib, semua pekerja yang terlibat juga sudah menerima memo dan kiriman emel mengenai status pembayaran.

“Mengenai isu KWSP yang tular baru-baru ini, semuanya saya ambil sebagai ‘wake up call’ dan satu pengajaran kepada Bubble Bee tetapi dalam masa sama kita sangat komited serta positif. Maksudnya, segala permasalahan mengenai KWSP sudah selesai. Pekerja sudah mendapat memo dan kiriman e-mel selain sedia faham mengenai status (pembayaran) KWSP”, jelasnya ketika ditemui media.

Tidak Ambil Tindakan Undang-Undang

Dalam pada itu, Shuib turut mengatakan bahawa beliau enggan untuk memanjangkan lagi isu ini, namun mahu untuk bersemuka dengan individu yang membangkitkan isu ini.

“Bukan untuk cari salah tetapi kita hendak bersua atau berdepan dan selesaikan dengan cara baik. Jika ada masalah, cerita dengan baik dan saya akan bertanggungjawab. Kita ada ramai pekerja tetapi disebabkan dua, tiga orang ini buatkan yang lain tidak yakin. Untuk (tindakan) saman tidak, tidak baik kerana saya anggap ini teguran berhemah dan bermanfaat”, katanya lagi.

Shuib turut meluahkan rasa tertekannya namun harus mengambil iktibar atas apa yang terjadi sebelum ini. “Ini satu ‘tembakan’ buat diri ini, tetapi saya ambil positif kerana dalam kehidupan kalau tidak dicuit tidak perasan”, ujarnya.

Terdahulu, Shuib mengakui syarikat jenama minuman miliknya, Bubble Bee lewat membayar caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) seperti yang didakwa seorang individu.

Jelas Shuib, masalah tersebut timbul disebabkan berlakunya salah urus dalam syarikatnya dan juga perubahan sistem pengurusan.

Kredit: OhBulan!

[fbcomments]