Baru-baru ini tular sebuah video di media sosial yang memaparkan beberapa pelancong sedang menikmati pemandangan di Pantai Kedung Tumpang, Tulungagung, Jawa Timur, bertukar menjadi peristiwa tragis apabila ombak besar secara tiba-tiba membadai kawasan tebing pantai.

Video di bawah:

https://x.com/anthraxxx781/status/1845664602329350217

Tak Berhati-Hati, Individu Dibadai Ombak Besar Dan Hilang

Dalam insiden itu, beberapa pelancong yang berada di tepi pantai telah dihanyutkan oleh ombak kuat yang melanda, mengakibatkan salah seorang daripada mereka iaitu Roni Joshua Simanjuntak, 20 tahun, dilaporkan hilang.

Roni, yang berasal dari Medan, dipercayai sedang berswafoto bersama beberapa rakannya sebelum ombak besar menyapu mereka. Menurut laporan Sindonews, Roni bersama 15 orang rakannya berada di kawasan tersebut untuk bercuti.

Ketika mereka sedang asyik bergambar, ombak yang tidak diduga datang dan menghentam tebing, menyebabkan beberapa orang terjatuh dan diseret ke laut.

Sehingga kini, pihak berkuasa tempatan masih giat menjalankan operasi mencari dan menyelamat mangsa. Walaupun pelbagai usaha telah dilakukan, Roni masih belum ditemui dan keluarga serta rakan-rakan hanya mampu berharap agar operasi pencarian ini membuahkan hasil.

Kejadian ini memberi amaran kepada orang ramai agar lebih berhati-hati apabila berada di kawasan pantai yang berisiko, terutamanya di lokasi-lokasi yang kerap dilanda ombak besar.

Pihak berkuasa turut mengingatkan pengunjung pantai untuk sentiasa peka dengan keadaan sekeliling dan mengelakkan berada terlalu dekat dengan tebing pantai yang terdedah kepada ombak kuat.

Kredit: X anthraxxx781, portal Sindonews

[fbcomments]