Seorang pemandu jengkaut dilaporkan maut selepas motosikal yang ditunganggnya telah dirempuh oleh sebuah bas kilang dalam kejadian di sebuah persimpangan lampu isyarat dekat Kuala Ketil, Kedah pada Khamis.
Lelaki Mualaf Meninggal Dunia Akibat Cedera Parah
Berdasarkan laporan Sinar Harian, mangsa iaitu Ooi Su Ching, 41, yang juga seorang mualaf meninggal dunia selepas mengalami kecederaan parah di kepala, dalam kejadian sekitar jam 8.20 malam semalam.
Ketua Polis Daerah Baling, Superintenden Shamsudin Mamat berkata, semasa kejadian berlaku, mangsa dilaporkan sedang dalam perjalanan pulang dari tempat kerja di Kuala Bakon ke rumahnya di Kuala Ketil.
“Ketika tiba di lokasi, mangsa dilanggar sebuah bas kilang di bahagian belakang. Bas itu dilaporkan memotong sebuah kereta di hadapannya semasa lampu isyarat hijau apabila sampai di tempat kejadian.
“Keadaan itu menyebabkan bas itu melanggar mangsa di bahagian belakang. Kesan pelanggaran itu, mangsa telah melambung dan terjatuh di laluan bertentangan.
“Motosikal mangsa dipercayai sedang berada di lorong kanan untuk membelok masuk ke sebelah kanan jalan,” katanya dalam satu kenyataan.
Sempat Bermaafan Dengan Rakan Sekerja
Tambah beliau lagi, pemandu dan penumbang bas kilang berkenaan tidak mengalami sebarang kecederaan dan pemandu bas terbabit telah ditahan untuk menjalani pemeriksaan ujian air kencing bagi siasatan lanjut.
Sementara itu, rata-rata daripada netizen meluahkan rasa simpati atas pemergian mangsa yang memakai nama Islam, Muhammad Yusuf Adam Oii Abdullah dan salah seorang rakan sekerja Allahyarham mendedahkan bahawa arwah sempat bermaafan bersamanya atas pergaduhan yang berlaku diantara mereka.
Kredit: Sinar Harian