Sempena perayaan Deepavali yang bakal disambut tidak lama lagi, pengguna lebuh raya telah diberi kemudahan tol percuma selama dua hari bermula esok, Sabtu.
Tol Percuma Bermula Esok Hingga Ahad
Menurut sumber Berita Harian, Menteri Kerja Raya iaitu Datuk Seri Alexander Nanti Linggi memaklumkan bahawa pelaksanaan pemberian tol percuma tersebut akan bermula pada jam 12.01 tengah malam ini sehingga Ahad, yang akan berakhir pada jam 11.59 malam.
“Pengecualian tol akan diberikan kepada semua jenis kelas kenderaan di semua plaza tol kecuali di plaza tol di sempadan negara, iaitu Plaza Tol Bangunan Sultan Iskandar (BSI) dan Plaza Tol Tanjung Kupang, Johor. Inisiatif ini dilaksanakan bagi meraikan semua rakyat Malaysia, terutama masyarakat India beragama Hindu yang menyambut perayaan Deepavali. Ini juga selari dengan hasrat Kerajaan Perpaduan dalam membantu meringankan beban rakyat yang merentasi kepelbagaian agama, kaum dan kepercayaan,” jelasnya dalam kenyataan, hari ini.
Tujuan Tol Percuma Adalah Untuk Mengelakkan Penumpuan Trafik
Tambah Alexander lagi, pemilihan tarikh pemberian tol percuma berkenaan telah dipersetujui oleh kementeriannya dan syarikat konsesi dengan tujuan untuk mengelak penumpuan trafik pada hari perjalanan pulang ke kampung dan kembali semula ke bandar dengan anggaran jumlah trafik pada dua hari itu adalah sebanyak 11.8 juta kenderaan.
“Dengan pelaksanaan tol percuma ini, diharap pengguna lebuh raya dapat memanfaatkan peluang ini, selain merancang perjalanan dengan sebaiknya. Pengguna lebuh raya juga dinasihatkan untuk mematuhi cadangan jadual waktu perjalanan atau travel time advisory (TTA) yang disyorkan. Aspek keselamatan dan pemanduan selamat perlu dipatuhi supaya semua pengguna lebuh raya dapat tiba ke destinasi dengan selamat dan sambutan perayaan Deepavali ini akan menjadi lebih bermakna bersama keluarga tercinta,” katanya.
Alexander turut mencadangkan pengguna lebuh raya menyemak status trafik atau sebarang insiden di lebuh raya yang akan dikemaskini di media sosial rasmi Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM), iaitu di Facebook Lembaga Lebuhraya Malaysia atau di Twitter @LLMtrafik secara berkala.
Kredit: Berita Harian