Seorang pelajar kolej penerbangan Admal Aviation College, Faris Iskandar Mohd Radhi lemas di Sungai Kelemin, Felda Mengkawang, Hulu Terengganu petang semalam.
Difahamkan, mangsa yang berusia 19 tahun itu sempat menyelamatkan dua rakannya yang lemas ketika mandi di sungai berkenaan sebelum beliau sendiri jatuh lemas.
“Dia berdepan kesukaran ketika berada di tengah sungai, lalu tenggelam dan hilang,” kata Ketua Polis Daerah Hulu Terengganu, DSP Mohd Adli Mat Daud.
Dari seorang pendiam, berubah banyak cakap
Menurut bapanya, arwah telah menunjukkan perubahan sikap dari seorang yang pendiam menjadi banyak bercakap dan bercerita.
Arwah juga merupakan seorang yang pendiam, tetapi akhir-akhir ini dia banyak bercerita, memberi nasihat serta mengingatkan teman-temannya akan kehidupan di dunia yang singkat. Dia seolah-olah tahu ajalnya bakal tiba.
Banyak muat naik status akhirat
Dia cuma banyak ‘update’ status di WhatsApp berkenaan dengan akhirat. Kemudian, dia banyak menegur kawan-kawannya tentang pentingnya hidup kita ini, tentang solat. Dia kata, masa kita tak lama.
Saya perasan perubahan itu apabila saya baca statusnya. Saya rasa macam ada sesuatu yang tak kena. Tetapi, itulah…
…kita tak ambil pusing sangat perkara itu. Mungkin kerana, dia budak remaja, kan. Dia juga banyak habiskan masa di surau.
Sejak kecil dia selalu ikut saya
Dalam pada itu Mohd Radhi berkata, anaknya juga dilihat keberatan untuk pergi ke Sungai Kelemin semalam, namun tetap menyertai aktiviti perkelahan bersama keluarganya itu.
Sejak kecil lagi Faris Iskandar selalu mengikuti ke mana sahaja ‘trip’ saya pergi, dan sentiasa menjadi peneman ketika saya memandu, tidak sangka perkelahan kali ini merupakan ‘perjalanan’ terakhir saya bersama arwah.
Walaupun sedih dan terkilan dengan kehilangannya, tetapi saya redha. Sewaktu saya melihat jenazah arwah tadi, arwah seolah-olah sedang tidur seperti kebiasaanya di rumah.
Mohd Radhi berkata, anaknya lemas selepas berjaya membantu seorang kanak-kanak lelaki berusia 11 tahun dan seorang lelaki berusia 28 tahun, yang hampir lemas ketika mandi di sungai yang sama.
Kejadian berlaku kira-kira jam 5:30 petang ketika sekumpulan 13 pengunjung sedang berkelah dan bermandi-manda.