Abang kepada isteri suspek kes pembunuhan Nur Farah Kartini mendedahkan bahawa adik perempuannya kini mengalami tekanan emosi yang berat sejak insiden terbabit sehingga menangis setiap hari tanpa henti.

Emosi Isteri Suspek Terganggu Hingga Menangis Tak Henti Setiap Hari

Menurut laporan dari Sinar Harian, lelaki berusia dalam lingkungan 40-an itu menyatakan bahawa adik perempuannya tidak mampu untuk bekerja kerana emosinya sangat terganggu hingga menangis setiap hari.

“Adik saya menangis setiap hari sejak insiden itu, dan emosinya benar-benar terjejas,” kata abang kandung isteri suspek.

Beliau menjelaskan bahawa keluarganya perlu sentiasa berada di sisi adiknya, yang juga merupakan ibu kepada seorang anak kecil, untuk memberikan sokongan moral agar dia dapat menghadapi masa sukar ini.

Mereka turut menyaksikan sendiri keadaan adik mereka yang sentiasa dalam kesedihan sejak kes ini menjadi tajuk utama di seluruh negara.

“Adik saya kini tidak mampu bekerja dan perlu menjaga anak perempuannya yang masih bayi. Jadi, tolonglah beri dia sokongan untuk menghadapi waktu yang sangat sukar ini,” katanya.

Susulan daripada itu, lelaki yang enggan namanya didedahkan itu memohon agar orang ramai tidak menambahkan lagi kekusutan dengan menyebarkan berita yang tidak sahih.

“Tolonglah jangan mengeruhkan keadaan ini dengan menyebarkan maklumat yang tidak tepat,” rayunya sambil mengesat air mata ketika ditemui media di Pengkalan Batu.

Beliau turut mengakui bahawa adiknya kini menghadapi saat paling getir dalam hidupnya, lebih-lebih lagi selepas mengenali suspek sebagai seorang suami dan bapa yang bertanggungjawab selama lima tahun mereka bersama.

“Demi adik saya, kami sekeluarga merayu agar orang ramai tidak menyebarkan sebarang berita yang tidak sahih dan biarkan polis menjalankan siasatan mengikut undang-undang yang ada.

“Adik saya juga telah menjauhi media sosial kerana takut membaca pelbagai spekulasi mengenai kes ini, yang hanya akan memburukkan lagi keadaan emosinya.

“Orang luar mungkin tidak memahami betapa peritnya perasaan ini, lebih-lebih lagi adik saya yang menjadi mangsa keadaan tanpa sebarang kesalahan,” tambahnya lagi.

Dia turut mendedahkan bahawa pakar kaunseling telah datang ke rumah mereka untuk menasihati keluarga agar terus berada di sisi adiknya kerana bimbang akan terjadi perkara yang tidak diingini, memandangkan adiknya juga mempunyai anak kecil yang memerlukan perhatian.

“Adik saya sedang menghadapi ujian yang sangat berat, lebih-lebih lagi kerana dia perlu memberikan perhatian sepenuhnya terhadap bayinya,” katanya.

Terdahulu, seorang anggota polis berusia 26 tahun telah ditahan untuk membantu siasatan berhubung kematian Nur Farah Kartini, yang mayatnya ditemui di sebuah kebun kelapa sawit di Hulu Selangor.

Suspek kini direman selama tujuh hari untuk membantu siasatan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Kredit: Sinar Harian

[fbcomments]