fbpx

Dalam insiden mengejutkan di Velodrom Olimpik Paris 2024, pelumba basikal trek negara Shah Firdaus Sharom berasa malu apabila atlet Jepun, Shinji Nakano, menghubunginya untuk menyatakan bahawa dia diserang oleh “tentera bawang” Malaysia di media sosial selepas kemalangan yang terjadi dalam acara keirin.

Shah Firdaus Malu Rakyat Malaysia Serang Akaun Nakano Susulan Insiden Keirin Paris

Menurut laporan dari Berita Harian, Shah Firdaus memberitahu bahawa Nakano menghantar mesej kepadanya dengan penuh rasa terkejut, kerana dia menyangka rakyat Malaysia adalah individu yang baik.

“Dia beritahu saya bahawa dia diserang di media sosial selepas insiden itu. Saya rasa sangat malu kerana dia menganggap orang Malaysia adalah baik-baik belaka,” ujar Shah Firdaus.

Tindakan tidak wajar sesetengah netizen Malaysia yang menyerang Nakano di platform media sosial telah mencemarkan nama baik negara.

Shah Firdaus, yang berusia 28 tahun, menjelaskan bahawa akaun TikTok yang menyatakan Nakano telah meminta maaf kepada rakyat Malaysia adalah palsu dan tidak sahih.

“Malam semalam (kelmarin) dia mesej saya, kata dia kena serang (di akaun media sosialnya)… saya pun tak tahu, apabila saya tengok, sudah berpuluh ribu komen.

“Saya harap netizen berhenti sebab perkara itu menjejaskan kami juga. Perkara itu memang berlaku (perlanggaran), ada ‘body contact’ dan itu biasa dalam keirin dan sebenarnya dia tak berniat nak ‘hentam’ saya, itu sebab ‘G-force’.

“Bila ada ‘body contact’, ‘G-force’ itu nampak seperti dia naik tetapi dalam keirin benda itu biasa, tinggal jatuh atau tidak sahaja,” katanya.

Tambahnya, hubungan persahabatan antara mereka tetap baik walaupun insiden tersebut berlaku.

“Kami sebenarnya berhubungan baik. Jika saya ke Jepun, dia pasti akan membawa saya berjalan-jalan. Jadi, apabila dia merasakan rakyat Malaysia tidak baik, saya berasa sangat serba salah.

“Nakano beranggapan kami semua adalah baik dan apabila dia menghubungi saya, saya rasa malu kerana ada sesetengah orang yang membuat serangan itu,” jelasnya.

Terdahulu, netizen Malaysia telah menyerbu Instagram Nakano selepas kemalangan tersebut yang menyebabkan Shah Firdaus kehilangan peluang meraih pingat dalam pusingan akhir acara keirin di Olimpik.

Kejadian itu telah memusnahkan harapan rakyat Malaysia untuk melihat atlet negara beraksi di podium.

Kredit: Berita Harian

[fbcomments]