Tengku Ampuan Pahang, Tuanku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah baru-baru ini telah menyampaikan nasihat kepada mahasiswa agar mengambil iktibar daripada kes buli sehingga menyebabkan kematian yang berlaku di Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM).

Video di bawah:

https://www.instagram.com/reel/C9190t7y3xZ/?utm_source=ig_web_copy_link

Titip Nasihat Buat Pelajar Universiti

Dalam video yang dimuat naik di laman Instagram @kesultanan.pahang, Tuanku Azizah menyampaikan nasihat tersebut semasa berangkat ke Majlis Bai’ah atau Lafaz Ikrar Pelajar Baharu di Pusat Asasi Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) Kampus Gambang pada hari Jumaat.

Tuanku Azizah menekankan pentingnya setiap penuntut universiti untuk memikirkan masa depan mereka dan tidak bertindak melampaui batas kerana tindakan sedemikian akan memberi kesan buruk kepada diri sendiri.

“Saya ingin menasihati semua anak-anak yang baru masuk universiti, ambillah pengajaran dari kejadian yang berlaku tujuh tahun lalu di UPNM. Jangan sia-siakan peluang masuk ke universiti dan akhirnya merosakkan hidup sendiri kerana tindakan yang tidak difikirkan.”

“Saya harap semua anggap satu sama lain sebagai adik-beradik dan saya sebagai seorang ibu yang menasihati kalian semua demi kebaikan,” titahnya.

Sebelum ini, Mahkamah Persekutuan telah membenarkan permohonan pihak pendakwaan untuk mengekalkan pertuduhan terhadap enam bekas penuntut UPNM yang menyebabkan kematian Pegawai Kadet Laut, Zulfarhan Osman Zulkarnain, tujuh tahun lalu.

Enam tertuduh tersebut menghadapi pertuduhan membunuh Zulfarhan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati mandatori. Selain itu, 12 lagi rakan mereka yang dipenjara tiga tahun telah diberikan jaminan RM7,000 dan hukuman penjara mereka digantung.

Mengikut pertuduhan, kesemua mereka didakwa melakukan kesalahan tersebut di dalam dua bilik, blok penginapan asrama Jebat di UPNM pada 21 dan 22 Mei 2017. Dalam kejadian yang amat menyayat hati itu, Zulfarhan disahkan meninggal dunia di Hospital Serdang pada 1 Jun 2017.

Nasihat dan peringatan dari Tuanku Azizah ini diharap dapat menyedarkan para mahasiswa tentang pentingnya nilai-nilai kemanusiaan dan kesedaran diri dalam menjalani kehidupan di kampus.

Kredit: Instagram kesultanan.pahang

[fbcomments]