fbpx

Pelakon dan penyanyi Nabila Razali menganggap tindakan pelawak Atu Zero yang menyindir vokalnya ketika program The Masked Singer sebagai perkara tidak lawak.

Nabila, 31 meluahkan perasaan kecewanya menerusi Instagram (IG) dan menyifatkan perkara seperti itu tidak sepatutnya dijadikan bahan lawak apabila muncul dalam program televisyen (TV).

Penyanyi lagu Pematah Hati itu berkata dia sentiasa meningkatkan kualiti nyanyiannya, dan hanya peminat setianya menyedari hal ini.

“Mungkin ini lawak bagi sesetengah pihak tetapi bukan saya.”

“Kepada semua pelawak, cubalah cari bahan lebih baik untuk buat orang ketawa. Saya tidak nampak perbezaan lawak ini dengan tindakan ‘body shaming,” tulis Nabila.

“Saya tidak marah, cuma sedikit kecewa. Mungkin ada orang perlu menjatuhkan orang lain demi membuat dirinya menyerlah,”tambah Nabila.

Nabila memuat naik hantaran berikut tindakan Atu yang memberi komen kepada salah seorang peserta program The Masked Singer, Si Bulu Tangkis yang menyanyikan lagu Pematah Hati.

Atu menerusi komen spontan menyatakan individu dalam kostum berkenaan bukan Nabila. Ini kerana penyanyi itu tidak boleh menyanyi live dengan baik.

Sementara itu, Atu mengakui kesal atas ketelanjuran bicaranya dan sudah memohon maaf kepada Nabila melalui mesej yang dihantar ke instagram DM.

Bagaimanapun masih tiada respon daripada Nabila sehingga saat ini walaupun mesej itu sudah dibaca.

“Apa yang saya cakap adalah perkara betul dan ia juga pernah tular sebelum ini. Jadi, saya bercakap berdasarkan apa yang saya dengar dan lihat sebelum ini,” katanya.

Namun, pelawak itu berjanji akan lebih berhati-hati apabila membuat ‘punchline’ atau bahan jenaka supaya tidak menyinggung perasaan sesiapa pada masa akan datang.

[fbcomments]