Seorang wanita yang bekerja sebagai promoter bakal dihukum penjara selama 10 tahun beserta denda sebanyak RM6,000 selepas mengaku bersalah di Mahkamah Sesyen semalam atas pertuduhan menyimbah air panas ke atas seorang lelaki berstatus orang kurang upaya (OKU) Sindrom Down beberapa hari yang lepas.
Tertuduh Mengaku Bersalah
Memetik laporan Berita Harian, Hakim Ahzal Fariz Ahmad Khairuddin menjatuhkan hukuman tersebut selepas tertuduh yang bernama Oo Saw Kee, 39, mengaku bersalah atas pertuduhan yang dibacakan oleh jurubahasa mahkamah.
Ketika prosiding berlangsung, Ahzal Fariz memaklumkan bahawa setelah meneliti fakta kes, mahkamah mendapati tindakan tertuduh adalah perbuatan yang kejam dan tidak berperikemanusiaan.
“Mahkamah berkongsi sentimen dengan masyarakat, tambah-tambah lagi tiada provokasi langsung daripada mangsa. Mahkamah sudah tentu perlu mengambil kira kepentingan awam dan hukuman ini bertujuan memberi peringatan agar perbuatan ini tidak diulangi terutama kepada golongan istimewa.
“Masyarakat majmuk di Malaysia tidak membenarkan perbuatan seperti ini berlaku, oleh itu mahkamah menjatuhkan hukuman penjara 10 tahun dan denda RM6,000, dan penjara 12 bulan jika denda tersebut tidak dibayar,” katanya.
Tertuduh Sengaja Menyebabkan Kecederaan Ke Atas Mangsa OKU
Berdasarkan pertuduhan, tertuduh didakwa dengan sengaja menyebabkan kecederaan parah ke atas mangsa yang bernama Solairaj Archudan, 33, menggunakan alat panas yang boleh menyebabkan kelecuran iaitu sebuah botol air yang mengandungi air panas.
Tertuduh didakwa melakukan kesalahan di bawah Seksyen 326 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun, denda atau sebat jikadisabit kesalahan.
Peguam Minta Mahkamah Agar Beri Tertuduh Hukuman Penjara Yang Ringan
Pendakwaan kes dikendalikan oleh Pengarah Pendakwaan Pulau Pinang Mohd Nordin Ismail, manakala tertuduh diwakili peguam pro bono Edric Loo. Sebelum ini, Edric memohon agar mahkamah mempertimbangkan hukuman yang dikenakan terhadap tertuduh memandangkan ia adalah kesalahan pertama dilakukan dan tindakan tertuduh mengaku bersalah menjimatkan masa mahkamah.
Beliau turut menambah tertuduh masih bujang dan hanya bekerja sebagai promoter dengan pendapatan RM1,500 sebulan sudah insaf dengan perbuatan yang dilakukan.
Terdahulu, Mohd Nordin memohon mahkamah agar mengenakan hukuman berat terhadap tertuduh memandangkan perbuatannya ke atas mangsa adalah serius dan mendatangkan kecederaan.
“Mangsa masih dirawat di hospital dengan kesan melecur di bahagian belakang badan, bahu serta leher dengan luka melecur enam peratus dan doktor perlu mencuci dan membalut luka kecederaan ini untuk mengelak jangkitan kuman.
“Saya percaya rata-rata masyarakat mengutuk perbuatan ini. Amat jelas air (panas) disiram dengan begitu tidak berperikemanusiaan kepada mangsa yang masuk ke dalam lif dengan tertuduh adalah jiran yang hanya berbeza satu tingkat dan sudah menetap di pangsapuri sama sejak 2014.
“Saya telah menyemak tiada laporan yang dibuat tertuduh, cuma mungkin dia (mangsa) seorang lemah sikit belajar. Kita tidak boleh sisih dan masyarakat sepatutnya membantu golongan OKU dan bukan menzaliminya seperti binatang,” jelasnya.
Kredit: Berita Harian