Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador memberi jaminan tindakan segera akan diambil bagi membanteras kegiatan mesin judi, penjualan rokok seludup dan aktiviti perniagaan haram warga asing di kawasan Sungai Buloh.
Terima kasih kerana mendedahkan
Sambil berterima kasih kepada individu yang mendedahkan kegiatan terbabit menerusi satu video yang tular baru-baru ini, beliau berkata tindakan tegas pasti diambil termasuk terhadap mereka yang bersekongkol dalam aktiviti jenayah itu.
Abdul Hamid menegaskan, Bukit Aman sudah memulakan tindakan sebaik pendedahan mengenai kegiatan itu dibuat menerusi video oleh seorang peniaga, dipercayai penjual burger di kawasan Sungai Buloh.
Bagus ada pihak yang berani dan ikhlas mendedahkan situasi sebenar di lapangan dan kita bertindak segera ke atas semua kegiatan yang salah ini.
Dua video yang tular itu mendedahkan mengenai kegiatan premis mesin judi dan aktiviti penjualan rokok seludup dan operasi perniagaan haram dalam kalangan warga asing.
SPRM kenal pasti PDRM yang terima rasuah
Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) akan memberikan tumpuan kepada pegawai dan anggota penguat kuasa yang dipercayai menerima rasuah bagi melindungi premis perniagaan haram di sekitar Sungai Buloh.
Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM, Datuk Seri Ahmad Khusairi Yahaya, berkata pihaknya memandang serius berhubung video tular berkaitan isu rasuah penguat kuasa melindungi gerai haram, penjualan rokok seludup dan judi.
Kami memandang serius berhubung isu yang ditularkan dalam dua klip video yang mendakwa pihak berkuasa gagal dalam memantau dan menguatkuasakan undang-undang selain dikatakan menerima rasuah daripada pihak terbabit.
Saya sudah hubungi Pengarah JIPs dan pihak mereka akan mengambil tindakan tegas ke atas premis perjudian termasuk pegawai yang melindungi aktiviti perjudian itu kerana kesalahan ini di bawah bidang kuasa PDRM.
Menurutnya lagi, pegawai serta anggota polis yang terbabit turut akan dikenal pasti dan tindakan akan diambil.
Minta orang awam terus buat laporan
Beliau turut menasihati orang ramai supaya tidak menghebahkan sesuatu isu di dalam media sosial kerana ia tidak akan membantu proses siasatan.
Ia tidak akan membantu sebarang proses siasatan malahan memberi peluang kepada pihak-pihak terbabit menghapuskan bukti serta keterangan yang ada.
Sebaliknya, masyarakat diminta untuk menyalurkan terus maklumat kepada SPRM.