Sebuah stesen minyak di Jalan Skudai, Johor Bahru kecoh selepas sebuah kereta bernombor pendaftaran Singapura secara tidak sengaja memandu keluar tanpa mencabut hos pam minyak, menyebabkan keseluruhan kios pam tercabut dalam kejadian yang berlaku pada malam Jumaat lalu.
Insiden kira-kira jam 10.15 malam itu mencetuskan panik dalam kalangan pelanggan lain yang berada di lokasi.
Kios Pam Minyak Tercabut, Operasi Stesen di Jalan Skudai Dihentikan Sementara
Menurut laporan The Straits Times, kejadian tersebut dirakam dalam bentuk foto dan video oleh seorang penduduk tempatan, Chen Zi Xin, yang kebetulan berada di tempat kejadian sebelum memuat naik rakaman itu ke Facebook. Dalam video berkenaan, kelihatan seorang pekerja stesen minyak bergegas ke arah pam yang rosak, manakala seorang lelaki dipercayai pemandu kereta terbabit keluar dari kenderaannya.
Beliau memberitahu, bapanya turut menyaksikan pekerja stesen cuba menahan pemandu berkenaan bagi memaklumkan kejadian itu, namun keluarganya segera beredar dari kawasan tersebut kerana bimbang risiko letupan.
Difahamkan, sekurang-kurangnya tiga pemandu lain meninggalkan kenderaan masing-masing selepas operasi stesen minyak itu dihentikan sementara atas faktor keselamatan. Seorang pekerja yang bertugas memaklumkan bahawa laporan polis telah dibuat dan syarikat insurans stesen turut dimaklumkan mengenai kejadian tersebut. Bahagian pam yang rosak kini masih ditutup sementara pemeriksaan keselamatan dan kerja pembersihan dilakukan.
Pemandu terbabit, seorang lelaki warga Singapura berusia sekitar 30-an, dilaporkan memohon maaf berulang kali dan memberi kerjasama penuh kepada kakitangan stesen serta pihak berkuasa. Dia turut menunggu di lokasi kejadian sehingga jam 3 pagi bagi menyelesaikan urusan berkaitan insiden tersebut bersama pengurusan stesen minyak.
Kredit: The Straits Times, Berita Harian