Isteri kepada pegawai kanan polis yang difahamkan terlibat dalam kemalangan melanggar seorang pelajar tingkatan lima iaitu Muhammad Zaharif Muhd. Zamrie, 17, dengan sengaja di Jalan Taman Jati, Meru semalam sehingga meninggal dunia memohon maaf kepada keluarga mangsa.
Isteri Pelaku Mohon Maaf Kepada Keluarga Mangsa
Menurut sumber Buletin TV3, difahamkan kakak kepada mangsa iaitu Nur Zawanie Muhd. Zamrie, 28, mendedahkan isteri kepada si pelaku memohon maaf atas tindakan dan sikap suaminya yang panas baran disebabkan tidak boleh mendengar ekzos motor yang terlalu kuat.
“Isteri dia ada berjumpa dengan saya sewaktu di tempat kejadian, datang memohon maaf. Ini verbally, isteri dia cakap dekat saya. ‘Maaf, minta maaf. Suami saya memang panas baran, tak boleh dengar orang rem (ekzos) motor’,”kata isteri suspek kepada kakak mangsa.
Suspek Yang Ada Di Lokasi Kejadian Langsung Tak Buat Apa-Apa
Walaupun isteri kepada suspek sudah memohon maaf kepada keluarga mangsa, namun suspek yang berada di lokasi kejadian ketika itu hanya berdiam diri dan langsung tidak meminta maaf kepada keluarga mangsa.
“Semasa itu saya sampai, saya memang nampak pelakunya di situ. Si pelaku tidak ada menawarkan apa-apa pertolongan, nak telefon ambulans ke, nak memohon maaf ke, atau nak mengaku, tiada. Memang dekat situ ramai yang dengar, saya dan ayah saya dengar dan orang di situ pun dengan yang lelaki itu (pelaku) mengatakan dia polis seperti yang ditularkan. Saya kesal kerana kejadian itu melibatkan seorang pegawai polis,”luahnya.
Mengulas lanjut, Nur Zawanie yang juga merupakan seorang jururawat memaklumkan adiknya masih lagi sedar dan boleh bercakap sedikit sewaktu beliau tiba di lokasi kejadian. Namun, adik bongsunya itu dilihat mengalami sesak nafas.
Terdahulu, tular mengenai kemalangan membabitkan sebuah motosikal jenis Yamaha ditunggang oleh Muhammad Zaharif Affendi bersama sebuah kereta Perodua Ativa yang dipandu oleh lelaki berusia 44 tahun. Difahamkan, kejadian tercetus apabila pemandu kereta terbabit tidak berpuas hati dengan mangsa kerana membuat bunyi bising ekzos motosikal. Suspek yang merupakan seorang pegawai kanan polis itu telah mengejar mangsa sejauh lebih kurang satu kilometer dan melanggarnya dari belakang. Akibat pelanggaran itu, mangsa terjatuh dari motosikal dan diseret kenderaan berkenaan sebelum kakaknya, Nur Zawanie datang dan memberi rawatan awal kepada adiknya.
Kredit:’ Buletin TV3