fbpx

Pasangan suami isteri hendaklah bertolak ansur dari segi kewangan demi membina rumahtangga yang adil dan bahagia. Namun baru-baru ini seorang Peguam Syarie iaitu Puan Nor Asyiqin berkongsikan sebuah kisah berkenaan suami kepada anak guamnya liat untuk hadir ke prosiding lafaz cerai kerana sudah hidup senang ditanggung isteri.

Hidup Selesa Sepanjang 20 Tahun

Menurut perkongsian yang dimuat naik oleh Asyiqin, sang suami sudah terlampau hidup selesa sepanjang 20 tahun perkahwinan. Semua perbelanjaan adalah ditanggung sepenuhnya oleh isteri yang bekerja sebagai penjawat awam dan suaminya pula hanya bergoyang kaki tiada pekerjaan, hanya mengharapkan rezeki daripada isteri sahaja.

” Puan nak tahu kenapa suami tak mahu lepaskan puan? Sebab puan kerja kerajaan. Puan dah tanggung hidup dia selama ini. Dalam kes ini, puan telah menanggung semua keperluan sekolah anak, barangan dapur, bil utiliti, bayaran rumah dan kereta suami, perbelanjaan makan minum keluarga”, kata Asyiqin.

Liat Ke Mahkamah Walaupun Sudah Dikeluarkan Perintah

Menurut Asyiqin lagi, suami kepada anak guamnya itu juga mengambil barang terlarang. Si isteri memfailkan penceraian di bawah Seksyen 47 Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam (Negeri Selangor) 2003 iaitu berkenaan cerai secara persetujuan bersama yang kemudian akan masuk ke peringkat Hakam, Seksyen 48.

Pelantikan Hakam adalah jalan terakhir untuk prosiding cerai mereka disebakan si suami berdegil tidak mahu memberi kerjasama yang sepatutnya.

“Jadi kuasa talak tidak terletak pada suami. Namun mahkamah tetap mengarahkan kes berjalan sebelah pihak iaitu pelantikan jawatankuasa pendamai, hakam islah dan hakam panel berjalan sebelah pihak sahaja meskipun si suami enggan datang. Di dalam kes cerai secara hakam, syiqaq (perkelahian) mestilah dikenalpasti yang menjadi punca utama pihak isteri memfailkan perceraian.

Di dalam kes ini, syiqaq yang terang dan nyata apabila si suami dengan sengaja tidak menjalankan tanggungjawabnya dan menyebabkan isteri melaksanakan tanggungjawab seorang diri sehingga menyebabkan isteri tawar hati terhadap kelakuan suami.

Sekiranya Hakam mensabitkan syiqaq tersebut maka mahkamah akan mengarahkan hakam panel untuk melafazkan talak meskipun suami tidak bersetuju melafazkan talak. Kenapa? Sebab kuasa talak suami dah hilang dan berpindah kepada hakam”, jelas beliau.

Kredit: Facebook Peguam Syarie

[fbcomments]