Pelakon terkenal, Azhan Rani, mencuri perhatian ramai apabila mendedahkan bahawa beliau telah menderma darah sebanyak 99 kali sepanjang hidupnya.

Perkara tersebut dikongsikan menerusi akaun Instagramnya, di mana Azhan memuat naik gambar dirinya bersama beg darah yang dipegang.

Azhan Rani Mahu Genapkan 100 Kali Sudah Derma Darah

Apa yang menarik perhatian ialah warna beg darah itu yang kelihatan kekuningan. Menurut penjelasan Azhan, ia adalah darah platelet dan plasma, hasil pengasingan darah merah menggunakan mesin khas. Proses ini menjadikannya lebih unik berbanding pendermaan darah biasa.

Azhan turut memaklumkan, beliau merancang untuk menggenapkan jumlah derma darahnya kepada 100 kali dalam masa dua minggu lagi, satu pencapaian yang jarang dicapai oleh rakyat biasa.

Beliau juga berkongsi kisah tentang seorang penderma lain yang dilaporkan telah menderma darah sebanyak 800 kali, berdasarkan maklumat daripada Pusat Darah Negara.

Melalui perkongsian tersebut, Azhan mengajak orang ramai untuk turut sama menderma darah, sambil menekankan betapa besarnya keperluan darah di negara ini. Secara purata, sekitar 2,000 beg darah diperlukan setiap hari untuk membantu pesakit di hospital seluruh Malaysia.

Pelakon berusia 48 tahun ini menegaskan bahawa niatnya bukanlah untuk menunjuk-nunjuk, tetapi sekadar menyebarkan kesedaran kepada masyarakat tentang pentingnya amalan menderma darah. Ia bukan sahaja membantu menyelamatkan nyawa, malah memberikan peluang kedua kepada ramai pesakit yang memerlukan.

Sebagai maklumat tambahan, pendermaan darah boleh dilakukan oleh individu yang sihat sehingga usia 70 tahun. 

Kredit: Instagram azhan_rani

 

 

 

[fbcomments]