Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (SUHAKAM) telah menyatakan bantahan terhadap hukuman mati yang dikenakan ke atas enam pesalah dalam kes pembunuhan pegawai kadet laut Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM), Zulfarhan Osman Zulkarnain. Hukuman ini dijatuhkan oleh mahkamah rayuan baru-baru ini.
Mengasihi Keluarga Mangsa, Namun Bantah Hukuman Gantung Sampai Mati Terhadap 6 Pesalah
SUHAKAM menyeru agar kerajaan mempertimbangkan semula penggunaan hukuman mati, dengan harapan dapat mencapai sistem keadilan yang lebih adil dan berperikemanusiaan. Menurut mereka, hukuman mati bukanlah jalan penyelesaian yang terbaik dan berkesan.
Walaupun SUHAKAM menentang hukuman mati, mereka turut menyatakan rasa simpati terhadap keluarga Zulfarhan dan memahami kesedihan yang mereka alami akibat jenayah yang serius ini. Mereka menyampaikan ucapan takziah kepada keluarga Zulfarhan sambil mengakui keputusan Mahkamah Rayuan.
Menurut SUHAKAM, hukuman mati adalah hukuman yang tidak boleh diubah dan tidak memberi peluang kepada pemulihan sekiranya berlaku kesilapan dalam sistem kehakiman. Hukuman ini juga bertentangan dengan gerakan global yang menggalakkan pemansuhan hukuman mati, yang dianggap tidak berperikemanusiaan dan melanggar hak asasi manusia.
Keputusan Mahkamah Rayuan untuk menjatuhkan hukuman gantung sampai mati kepada enam pesalah ini telah dipersetujui sebulat suara oleh panel tiga hakim yang dipengerusikan oleh Datuk Hadhariah Syed Ismail, bersama Mohamed Zaini Mazlan dan Datuk Azmi Ariffin. SUHAKAM menganggap keputusan ini sebagai satu peristiwa yang menyedihkan dan penting dalam sejarah kehakiman Malaysia.
“Dalam konteks ini, penting untuk menekankan aspek pemulihan kerana cara itu boleh membawa perubahan kepada pesalah menjadi masyarakat yang lebih bertanggungjawab.
“Pendekatan ini bukan sahaja menangani punca kelakuan ganas terbabit tetapi juga membantu mencegah kejadian sama pada masa depan dengan menggalakkan persefahaman, empati dan tanggungjawab sosial dalam kalangan pesalah. Komitmen kami terhadap hak asasi manusia memberi mandat buat kami menyokong pemansuhan hukuman mati,” jelas mereka.
Sebelum ini, enam individu iaitu Muhammad Akmal Zuhairi Azmal, Muhammad Azamuddin Mad Sofi, Muhammad Najib Mohd Razi, Muhammad Afif Najmudin Azahat, Mohamad Shobirin Sabri, dan Abdoul Hakeem Mohd Ali, yang berusia 28 tahun, telah dijatuhkan hukuman gantung sampai mati akibat pembunuhan Zulfarhan Osman pada 1 Jun 2017.
Mereka didapati bersalah kerana membuli Zulfarhan sehingga menyebabkan kecederaan serius di seluruh badannya dengan menggunakan objek seperti seterika wap, tali pinggang, getah paip, dan penyangkut baju.
Kredit: Facebook SUHAKAM