Baru-baru ini kecoh di media sosial selepas Sultan Selangor murka dengan keputusan yang dikeluarkan Malaysia Football League (MFL) yang mahu mendenda RM100,000 terhadap Selangor FC susulan penarikan diri pada aksi Piala Sumbangsih, bulan lepas.

Terbaharu, Tengku Mahkota Johor (TMJ) iaitu Tunku Ismail Ibni Sultan Ibrahim tampil bersuara mengenai tindakan MFL yang kini mengurangkan denda yang perlu dilunaskan oleh Selangor FC kerana beranggapan ianya tidak adil.

“JDT Kena Denda Beratus Ribu Tapi Tak Minta Sultan Untuk Murka Pun”

Menerusi hantaran di Instagram Story yang dibuat, TMJ yang juga merupakan pemilik Johor Darul Ta’zim (JDT) secara sinis menyatakan bahawa semua masalah dalam arena bola sepak boleh diselesaikan dengan meminta Sultan setiap negeri menulis surat murka. Menurut TMJ, selepas ini, kelab yang gagal membayar gaji, menarik diri sesuka hati, atau melanggar undang-undang Liga hanya perlu meminta Sultan menulis surat murka untuk mengatasi isu tersebut.

TMJ turut mendedahkan bahawa JDT pernah didenda sejak tahun 2013, namun Tuanku Sultan Johor tidak pernah mengeluarkan sebarang kenyataan berhubung hukuman yang dikenakan itu.

“Pasukan setiap negeri yang buat salah semua boleh suruh MFL tarik balik hukuman dengan mohon jasa Tuanku Sultan masing-masing keluarkan surat.

“Selepas ini Tuanku Sultan yang lain juga akan bertanya, kenapa Selangor boleh dikurangkan hukuman dan negeri kami tidak boleh?

“JDT daripada 2013 kena denda beratus ribu, saya kena ‘banned’ enam bulan, tidak ada pun Tuanku Sultan Johor keluarkan surat atau buat kenyataan.

“Siap mengungkit beri pingat Datuk. MFL buat ‘U-turn’ tanpa surat rayuan, yang memekak hentam MFL baik puji MFL sekarang. Tuan-tuan dan puan-puan, saya persembahkan kepada anda tokong sebenar bola sepak Malaysia,”tulis TMJ.

MFL Ringankan Hukuman

Sebelum ini, MFL telah memutuskan untuk mengurangkan hukuman terhadap Selangor FC susulan ketidakhadiran pasukan itu ke Perlawanan Sumbangsih pada 10 Mei lepas. Dalam kenyataan yang dikeluarkan pada Khamis, MFL menjelaskan bahawa keputusan tersebut diambil sebagai tanda penghormatan dan menjunjung kasih kepada titah Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah.

Ahli Lembaga Pengarah MFL sebulat suara memutuskan untuk mengurangkan denda yang dikenakan kepada The Red Giants daripada RM100,000 kepada RM60,000. Namun begitu, bayaran pampasan atas kerugian yang ditanggung oleh pasukan tuan rumah JDT dan MFL tetap dikekalkan. MFL juga akan mengumpul maklumat dan kos yang dikemukakan oleh JDT dan Sekretariat MFL sebelum diserahkan kepada Selangor FC untuk semakan dan perbincangan lanjut.

Selain itu, hukuman pemotongan tiga mata yang dikenakan ke atas Selangor FC sebelum ini juga dibatalkan. Larangan kemasukan penonton ke perlawanan Liga Super (LS14) yang melibatkan Selangor FC menentang JDT di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya turut dibatalkan. Keputusan ini diharap dapat memberi peluang kepada Selangor FC untuk terus bersaing dengan semangat yang lebih tinggi dalam liga.

Kredit: Instagram hrhcrownprinceofjohor, FB Malaysian Football League

[fbcomments]