Seorang lelaki tempatan yang dipercayai terlibat dalam insiden tembakan di sebuah pusat beli-belah di Setia Alam minggu lalu maut dalam kejadian berbalas tembakan dengan pihak polis di Pulau Ketam, Klang, awal pagi tadi.

Lelaki Dikehendaki Kes Tembakan Setia Alam Tewas Dalam Serbuan Polis di Pulau Ketam

Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan, memaklumkan bahawa suspek yang berusia dalam lingkungan 30-an ditembak dalam serbuan yang dijalankan sekitar jam 3 pagi. Operasi menjejaki suspek itu melibatkan Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman dan Selangor, yang berjaya menjejaki lelaki tersebut ke sebuah hotel di Pulau Ketam.

“Ketika serbuan dijalankan, berlaku tembak-menembak antara polis dan suspek di dalam bilik hotel, sebelum suspek berjaya ditembak mati,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Pihak polis turut menemui sepucuk senjata api berisi peluru bersama suspek. Siasatan lanjut mendapati lelaki tersebut mempunyai sembilan rekod jenayah lampau, termasuk satu kes berkaitan dadah dan tujuh kes samun.

Menurut Hussein, suspek dipercayai telah bersembunyi di hotel tersebut sejak dua hari lalu.

Kejadian tembakan yang berlaku pada 8 Februari lalu di Setia Alam mengakibatkan seorang pekerja pembersihan cedera di bahagian kaki selepas ditembak oleh seorang individu. Selepas melepaskan tembakan, suspek bertindak melarikan diri dengan menahan sebuah kenderaan dan memaksa pemandunya membawa dia keluar dari kawasan kejadian.

Sejak insiden itu, pihak polis telah menjalankan operasi bagi mengesan suspek sebelum berjaya menjejakinya ke lokasi persembunyian di Pulau Ketam.

Kredit: BERNAMA

 

[fbcomments]