Tiada ungkapan yang mampu menggambarkan kelegaan dan rasa syukur ibu bapa kepada Pegawai Kadet Laut Zulfarhan Osman Zulkarnain apabila Mahkamah Rayuan hari ini menjatuhkan hukuman gantung sampai mati ke atas enam pelaku yang didapati bersalah dalam kes dera sampai mati.

Ibu Bapa Lega Anak Dapat Tuntut Keadilan Selepas 7 Tahun Kes Berlalu

Selepas prosiding yang berlangsung selama lebih tiga jam, Zulkarnain Idros, 59, dan Hawa Osman, 60, meninggalkan mahkamah dengan rasa syukur yang mendalam dan melakukan sujud syukur di luar mahkamah. Air mata mengalir dan doa dilafazkan kerana akhirnya, keadilan yang dinantikan buat anak mereka tercapai.

“Keadilan terhadap anak saya kini terbela, kami bersyukur kepadaMu ya Allah,” laung Hawa dengan penuh emosi.

Menurut Zulkarnain, keputusan hari ini merupakan satu kelegaan besar bagi mereka sekeluarga kerana anaknya, yang pergi dalam keadaan yang amat menyedihkan, kini mendapat keadilan. Mereka merancang untuk mengadakan kenduri doa selamat sebagai tanda kesyukuran.

Menceritakan pengalamannya ketika mendengar keputusan dibacakan, Zulkarnain mengakui dia dan isterinya tidak dapat menahan air mata sebaik sahaja keputusan diumumkan.

“Anak kami diseksa dengan begitu kejam, banyak perkara yang kita tidak tahu selama ini akhirnya didedahkan dengan jelas,” ujarnya.

Zulkarnain juga menyatakan rasa syukur kepada Allah SWT kerana mendengar doa mereka dan mengucapkan terima kasih kepada rakyat Malaysia yang sentiasa mengikuti perkembangan kes ini serta mendesak agar hukuman mati dikenakan ke atas pesalah.

“Terima kasih kepada barisan Timbalan Pendakwa Raya yang berjaya membuktikan adanya niat membunuh. Saya juga berterima kasih kepada hakim Mahkamah Rayuan yang membuat keputusan tepat,” katanya.

Namun begitu, perjuangan mereka masih belum selesai kerana dimaklumkan bahawa semua pesalah akan membuat rayuan di Mahkamah Persekutuan dalam masa dua hingga tiga minggu akan datang.

Terdahulu, Mahkamah Rayuan menjatuhkan hukuman gantung sampai mati kepada enam bekas penuntut UPNM kerana didapati bersalah membunuh Zulfarhan Osman tujuh tahun lalu. Mereka adalah Muhammad Akmal Zuhairi Azmal, Muhammad Azamuddin Mad Sofi, Muhammad Najib Mohd Razi, Muhammad Afif Najmudin Azahat, Mohamad Shobirin Sabri, dan Abdoul Hakeem Mohd Ali, yang kesemuanya kini berusia 28 tahun.

Panel tiga hakim yang diketuai oleh Datuk Hadhariah Syed Ismail membuat keputusan tersebut secara sebulat suara selepas menerima rayuan pendakwaan untuk mengembalikan semula tuduhan bunuh terhadap mereka mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Sebelum ini, keenam-enam perayu yang juga responden dalam rayuan ini dihukum penjara 18 tahun kerana menyebabkan kematian tanpa niat terhadap arwah Zulfarhan Osman mengikut Seksyen 304(a) Kanun Keseksaan.

Kredit: Harian Metro

[fbcomments]