fbpx

Isteri kepada Mohd Azlan iaitu Nor Hidayu meluahkan rasa syukur dan lega apabila dia telah selamat diijabkabulkan bersama suaminya pada petang semalam.

Syukur Dapat Mulakan Kehidupan Baru. Ada Penduduk Datang Minta Maaf

Memetik laporan Mstar, Hidayu bersyukur dapat memulakan kehidupan baharu selepas terpaksa melalui ‘fasa gelap’ sebelum ini.

“Selesai je lafaz akad nikah dan semuanya sah, saya terus tarik nafas lega, tamat juga kemelut yang membebani saya dan suami selama ni. Walaupun banyak rintangan, syukur Allah permudahkan satu per satu.

“Saya harap orang ramai dapat berhenti mencerca dan berikan kami ruang untuk memulakan kehidupan baharu. Selepas habis majlis, ada juga beberapa individu yang sapa kami dan minta maaf.

“Kami terima dengan hati terbuka kerana kami pun banyak kesilapan sebelum ni,” kata Hidayu yang menetap di Taman Kota Nelayan, Kuala Kedah.

Kutipan Derma Sebanyak RM100K Yang Diperoleh Akan Digunakan Untuk Keperluan Anak

Hidayu turut menambah, hasil kutipan derma daripada orang awam telah mencecah lebih RM100,000 dan berhasrat untuk menggunakan wang tersebut untuk membeli keperluan anak-anaknya.

“Setakat ni kutipan dah berjumlah RM100,000. Kami akan gunakan semuanya untuk Aariz. Pertama sekali, kami nak pasang penyaman udara dan siapkan bilik yang selesa untuk Aariz di rumah ni, kesian tengok dia berpeluh dalam keadaan cuaca panas sekarang.

“Kemudian kami nak belikan Aariz pakaian dan kelengkapan bayi yang mencukupi, antara yang kami tengah fikir adalah kereta sorong (stroller) dan botol susu. Kami mahu Aariz hidup senang seperti kanak-kanak lain, dah lama dia asyik susah je.

“Seterusnya untuk menampung kos ubat-ubatan Aariz dalam jangka masa panjang, sebab penyakit Aariz ni tidak boleh dirawat terus. Ia akan sembuh sendiri apabila dia meningkat dewasa, buat waktu ni doktor hanya pantau dari semasa ke semasa,” ujarnya yang mempunyai perancangan untuk membuka akaun bank baharu di bawah nama Aariz Zafran.

Pasangan Tular Ucapkan Ribuan Terima Kasih Kepada Rakyat Malaysia

Sementara itu, Hidayu dan Azlan menitipkan ucapan terima kasih kepada rakyat Malaysia kerana banyak membantu dan memberi sumbangan yang secara tidak langsung dapat memberi sinar untuk mereka sekeluarga meneruskan kehidupan.

“Sebahagian daripada sumbangan orang ramai tu kami akan masukkan ke sini. Akaun ni macam simpanan masa depan untuk Aariz. Nanti dia dah besar kalau nak sambung belajar atau lain-lain keperluan, boleh guna duit daripada akaun ni.

“Aariz tak boleh selama-lamanya bergantung dengan kami, hidup kami pun tak tahu berapa lama lagi yang tinggal. Jadi ada baiknya kami siapkan tabung untuk Aariz awal-awal.

“Satu lagi, kami tak mahu Aariz apabila dah dewasa nanti hidup meminta-minta, cukuplah cara hidup begitu setakat saya dan suami je. Kami cuma mahu lihat Aariz menjalani hidupnya dalam kesenangan.

“Terima kasih kepada yang menyumbang, nampak juga sinar harapan dalam hidup kami ni, seperti bernyawa semula. Hanya Tuhan yang mampu membalas jasa kalian,” luahnya di akhir kata.

Kredit: Mstar

[fbcomments]