Bersempena dengan Hari Kanser Sedunia semalam, Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin mengesahkan bahawa dirinya kini bebas dan pulih sepenuhnya dari penyakit berkenaan.
Berita gembira tersebut dikongsi menerusi laman Facebook rasmi miliknya.
Selaku bekas pesakit kanser, saya memahami keperitan dan kesukaran yang ditanggung dalam melawan penyakit ini.
Alhamdulillah, saya bersyukur kepada Allah SWT setelah menjalani rawatan, saya telah disahkan pulih.
Mencegah lebih baik daripada merawat
Menurut beliau, kata-kata rangsangan dan dorongan keluarga telah menguatkan semangatnya untuk terus berjuang dalam melawan penyakit tersebut.
Dalam masa yang sama, beliau turut sempat memberi kata-kata semangat buat semua pejuang kanser seperti dirinya selain menyeru agar semua masyarakat mengamalkan gaya hidup sihat bagi mencegah dan mengawal penyakit berkenaan.
Jika anda sedang berjuang melawan kanser, kuatkan semangat. Anda bukan menghadapinya seorang diri.
Sempena Hari Kanser Sedunia, saya mengajak seluruh masyarakat untuk memainkan peranan masing-masing dalam mencegah dan mengawal penyakit ini. Amalkan gaya hidup sihat.
Di samping itu, Muhyiddin turut menyarankan orag ramai agar melakukan ujian saringan kesihatan secara berkala bagi mengelakkan kanser dikesan lewat.