Penyanyi Nabila Razali atau nama sebenarnya Nur Nabilah Mohd Razali, 31, kini sah bergelar isteri kepada ahli perniagaan iaitu Nik Iruwan, 38, dengan sekali lafaz pada jam 10.11 pagi tadi. Pasangan ini telah selamat dinikahkan oleh Jurunikah Ustaz Fawwaz Zarin Bin Che Lah di majlis pernikahan yang berlangsung di The Chateau Spa & Wellness Resort, Pahang.
Selamat Bernikah Di Pahang
Difahamkan, tema majlis perkahwinan mereka adalah berkonsepkan English Garden dan Nabila telah menerima mas kahwin bernilai RM22.50. Walau bagaimanapun, wang hantaran dirahsiakan.
“Alhamdulillah, syukur ke hadrat Ilahi majlis pernikahan berjalan dengan lancar. Terima kasih kepada tetamu dan ahli keluarga yang turut menjayakan majlis ini, dan tidak lupa kepada peminat di atas doa dan sokongan yang diberikan kepada Bella dan suami,” jelasnya.
Majlis Berjalan Dengan Lancar
Majlis mereka dikendalikan oleh Terusik Event ini telah diadakan secara sederhana yang turut dihadiri oleh kira-kira 250 orang tetamu yang terdiri daripada ahli keluarga, rakan terdekat, dan juga beberapa selebriti. Turut hadir tetamu VIP dan rakan niaga pengantin lelaki.
Antara selebriti yang hadir adalah seperti Hawa Rizwana, Amira Othman, Wany Hasrita, Ara Johari, Sissy Iman, Hael Husaini dan ramai lagi. Majlis resepsi pengantin baharu ini juga bakal berlangsung pada sebelah petang di tempat yang sama.
Kredit: OhMyMedia