Seorang bayi perempuan berusia lima bulan dilaporkan patah tangan bahagian kiri dan mengalami pendarahan dalam kepala ketika berada di rumah pengasuhnya yang terletak di Paya Berenjut pada Khamis semalam.

Bayi Tidak Bermaya Sebelum Membawanya Ke Hospital

Ketua Polis Daerah Kemaman iaitu Superintendan Hanyan Ramlan memaklumkan bahawa sebelum kejadian, bayi tersebut dihantar oleh ibunya ke rumah pengasuh pada pagi kejadian. Katanya, sekitar jam 11 pagi, pengasuh yang berusia 29 tahun itu menghubungi ibu mangsa dan mendakwa bayi berkenaan demam.

“Ibu mangsa bergegas ke rumah pengasuh terbabit dan mendapati bayinya itu tidak bermaya sebelum menghantar mangsa ke hospital berhampiran. Hasil daripada pemeriksaan pegawai perubatan mendapati mangsa patah tangan kiri dan mengalami pendarahan di dalam kepala,” ujarnya.

Bayi berkenaan bagaimanapun dilaporkan stabil dan kini berada di wad hospital untuk menjalani rawatan lanjut.

“Siasatan dijalankan sebaik polis menerima laporan berhubung kejadian kira-kira 1.30 petang. Kita akan menjalankan siasatan secara menyeluruh bagi mengetahui punca kejadian termasuk kemungkinan berlakunya pengabaian dan sebagainya,” katanya.

Menurutnya, pihak polis akan mengambil keterangan daripada pengasuh terbabit untuk siasatan lanjut dan kes berkenaan akan disiasat mengikut Seksyen 31(1) Akta Kanak-Kanak 2001.

Kredit: Harian Metro

[fbcomments]