Pengusaha automotif yang memberikan Proton Persona kepada pasangan tular baru-baru ini dedah mereka ikhlas membantu dan tidak tahu bahawa mereka bukanlah suami isteri seperti awal-awal diketahui sebelum ini.

Pengusaha Automotif Ikhlas Bantu, Tak Campur Kisah Silam

Menurut laporan Mstar, Firdaus Shariffuddin Arshad memaklumkan bawah beliau mengetahui mereka tidak berkahwin sewaktu melihat berita di media sosial dan akui agak terkejut dengan kebenaran yang didedahkan.

“Saya tak tahu mereka belum berkahwin. Tapi bagi saya ia adalah ‘sejarah silam’ kerana benda yang tak baik boleh jadi baik sekiranya mahu berubah.

“Saya bukan ustaz atau badan berkuasa untuk menegur atau mengambil tindakan ke atas mereka. Tapi saya menjalankan tanggungjawab sebagai rakyat prihatin yang mengenang kesusahan mereka menjaga anak yang sakit kronik,” katanya.

Beliau juga sempat berkongsi sedikit kisah pasangan tersebut apabila bapa bayi datang ke kedai untuk mencari kereta terpakai dengan harga murah bagi membolehkan dia membawa anak dengan alat bantuan pernafasan khas berulang alik ke hospital.

Disebabkan simpati dengan kisah mereka, usahawan yang lebih dikenali sebagai Daniel Firdaus itu berbesar hati membantu mereka dengan ikhlas dan memberikan kereta jenis Proton Persona buat mereka sekeluarga.

“Pada asalnya, dia (bapa bayi) nak beli kereta terpakai yang murah untuk bawa anak mereka ulang alik ke hospital. Kalau naik motor agak susah dengan keadaan anak yang pakai tiub dan cuaca hujan yang tidak menentu.

“Perkara yang baik, kita sokong. Kisah silam dia dan jika mahu berubah kepada yang lebih baik, saya pun sokong.

“Saya sendiri ada anak, dan saya juga pernah hidup susah kerana bukan datang dari keluarga yang senang.

“Semua ini kerja Tuhan. Kalau kisah dia tak viral, orang tak tahu perkara yang sebenar dan ujian ini juga yang mungkin membuatkan mereka mahu berubah kepada lebih baik,” ujarnya.

Menyokong Mereka Menghalalkan Hubungan Dan Jaga Anak-Anak Dengan Baik

Dalam pada itu. Daniel Firdaus juga berharap agar rakyat Malaysia dapat menyokong pasangan tersebut menghalalkan hubungan dan seterusnya sama-sama bertanggungjawab menguruskan anak-anak.

“Saya juga berharap dia dapat menggunakan kereta itu untuk bawa anak ke hospital dan kegunaan yang baik-baik. Saya tiada kuasa untuk menghalang kerana kereta itu adalah milik dia yang saya dah settle dari segi servis dan tayar pun baharu.

“Untuk seterusnya seperti minyak dan maintenance akan datang, itu dia kena usaha sendiri termasuk menerusi sumbangan orang lain.

“Saya sudah tolong bahagian saya dengan menyediakan kereta untuk keperluan. Lain-lain seperti kewangan, orang lain pun boleh tolong. Bantulah dengan ikhlas,” ceritanya.

Kredit: Mstar

 

[fbcomments]