fbpx

Mempunyai anak yang serba aktif sememangnya tidak dapat dinafikan bahawa mereka ini sukar untuk dikawal, buat ibu bapa mahupun pihak yang lain. Inilah yang terjadi apabila baru-baru ini tularnya di media sosial berkenaan tentang seorang ibu yang terkejut apabila anaknya dilarang ke sekolah kerana didakwa berkelakuan luar kawalan dan agresif.

 

Cikgu Larang Ibu Hantar Anak Ke Sekolah

Berdasarkan sumber yang dilihat dari Mstar, kejadian ini didedahkah oleh ibu murid tersebut menerusi tangkap layar perbualannya bersama seorang guru yang dimuat naik di laman TikTok.

“Esok tak payah bagi anak puan datang ke sekolah. Hari-hari pukul budak.. murid-murid datang ke sekolah nak belajar dengan tenang bukannya macam anak puan. Dia mengacau dalam kelas sahaja. Cikgu-cikgu nak mengajar dengan aman pun tak boleh. Kami ni cikgu-cikgu puan, tugas mengajar bukannya jadi babysitter nak tengok kelakuan anak puan”, luah guru tersebut kepada si ibu.

Murid Tersebut Akan Mengamuk Dan Menghempas Barang Jika Ditegur

Bukan itu sahaja, malah guru terbabit juga turut mendakwa kanak-kanak tersebut kerap menunjukkan tingkah laku yang tidak berdisiplin seperti dia pantang ditegur kerana akan mengamuk dan menghempas apa sahaja barang yang ada di dalam kelas.

“Dia memang tak boleh belajar bersama murid lain, dia tidak boleh ditegur, tak menghormati guru dan tidak berdisiplin”, kata guru itu lagi.

Ibu kepada murid tersebut turut bingung dengan apa yang patut beliau lakukan demi membantu anaknya itu. “Jangan salah faham ya, saya tak salahkan cikgu-cikgu yang mengajar anak saya.. cuma nak tanya parents yang ada anak hyper macam ni. Macam mana cara handle dan rawatan terbaik. Saya sebagai ibu nak yang terbaik dan mahu anak bersekolah seperti biasa”, luahnya di laman TikToknya.

Sedih Anaknya Tidak Dapat Dihantar Ke Sekolah Seperti Kanak-Kanak Lain

Menurut Mstar lagi, si ibu yang berasal dari Kuantan, Pahang itu mengakui beliau berasa sedih apabila anaknya tidak dapat dihantar ke sekolah seperti kanak-kanak yang lain. Malah, beliau juga perlu mendapatkan surat perakuan daripada doktor untuk mengetahui keadaan anaknya yang didakwa ‘tidak normal’ itu.

“Sekarang jadi susah, anak tak boleh ke sekolah.. kena dapatkan surat doktor. Jumpa pakar terapi, kos RM150 sejam. Dia baru sahaja sudah tidak ke sekolah, jumpa terapi pada Sabtu lalu. Pihak terapi minta supaya kami datang semula kerana masih tidak mengetahui punca masalah anak.

“Nak pergi klinik kerajaan, tak ada di Kuantan ni. Perjumpaan kedua nanti mereka akan bagi surat rujukan untuk bertemu doktor pakar”, ujarnya.

Menjengah di ruangan komen, rata-rata netizen tidak lekang untuk memberikan kata-kata semangat kepada si ibu ini selain berkongsi pandangan masing-masing tentang apa yang perlu dibuat untuk merawat anaknya itu.

Kredit: Mstar

[fbcomments]