Seorang bayi lelaki berusia setahun lapan bulan dilaporkan maut selepas dilanggar oleh bapanya secara tidak sengaja sewaktu mahu mengalihkan kenderaan pacuan empat roda di hadapan rumah mereka yang terletak di Kampung Wakaf Kubor, Kampung Raja, Besut semalam.
Bapa Tak Perasan Anak Sedang Bermain Telefon Bimbit & Terlanggar Anaknya Yang Menuju Ke Arahnya
Berdasarkan laporan Kosmo!, Ketua Polis Daerah Besut iaitu Superintendan Abdul Rozak Muhammad memaklumkan bahawa pihaknya menerima laporan berkenaan kematian kanak-kanak lelaki itu semasa mendapatkan rawatan di Klinik Kesihatan Gong Medang selepas disahkan meninggal dunia pada jam 10.30 pagi.
Katanya, siasatan awal mendapati kejadian berlaku ketika bapa kanak-kanak terbabit sedang mengalihkan kenderaannya selepas selesai membasuh kenderaannya di halaman rumah.
“Bapa mangsa tidak menyedari kanak-kanak itu sedang bermain telefon bimbit di atas tangga rumah dan bergerak menuju ke arah kenderaan dipandu lelaki itu dan menyebabkan pemandu itu terlanggar anaknya. Kejadian dipercayai berlaku kira-kira jam 9.30 pagi. Bapa kanak-kanak itu kemudiannya membawa mangsa ke Klinik Kesihatan Gong Medang dan kanak-kanak itu disahkan meninggal dunia,” jelasnya.
Beliau turut menambah, proses bedah siasat masih dijalankan untuk mengenal pasti kecederaan dialami mangsa, dan kes disiasat di bawah Seksyen 31(1) Akta Kanak-kanak 2001 dan Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
“Saya menasihatkan individu yang mempunyai anak kecil agar lebih peka dan berhati-hati kerana risiko kemalangan seperti ini kerap berlaku di kawasan rumah sendiri,” ujarnya.
Kredit: Kosmo!