Setelah tujuh tahun berlalu, bekas penuntut Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) iaitu Muhammad Aiman Aufa Asmadi Affendi akhirnya membuka mulut mengenai surat layang yang pernah ditulisnya sebagai usaha menyelamatkan nyawa Zulfarhan Osman Zulkarnain, yang ketika itu didera oleh rakan-rakannya.
Tak Pernah Nampak Surat Layang Selepas 8 Tahun, Terkejut Boleh Tersebar Luas
Melalui satu hantaran di Insta-Story, Aiman Aufa menceritakan bahawa ini adalah kali pertama dia melihat semula surat layang tersebut sejak kejadian malang itu berlaku hampir lapan tahun yang lalu.
“Setelah hampir 8 tahun, ni first time saya tengok semula surat ni. Lepas saya letak tu, tak pernah tengok dah sampai sekarang. Ni tak tahu la macam mana boleh sampai ke public,” tulisnya.
Aiman Aufa yang kini menikmati kehidupan berkeluarga bersama isteri tercinta, mengingatkan bahawa manusia hanya mampu berusaha, namun Allah jua yang menentukan segala takdir. Beliau mengucapkan Al-Fatihah kepada keluarga arwah Zulfarhan dan menzahirkan rasa simpati terhadap mereka.
“Apa apa pun, Al-fatihah buat keluarga arwah. Kita manusia hanya mampu berikhtiar dan berusaha, Allah penentu segalanya. Al-fatihah,” tambahnya lagi.
Sebelum ini, nama Aiman Aufa dan seorang lagi individu bernama Akmal Akif menjadi buah mulut masyarakat apabila keberanian mereka membantu arwah Zulfarhan melalui dua surat layang yang ditujukan kepada pihak atasan UPNM mendapat perhatian ramai. Tindakan mereka ini disambut dengan pujian dan rasa kagum daripada netizen.
Media sosial Aiman Aufa juga dibanjiri dengan ucapan terima kasih serta doa-doa agar urusannya sentiasa dipermudahkan dan dilindungi Allah SWT. Netizen kagum dengan keberanian dan ketulusan hati Aiman Aufa dalam usaha menyelamatkan arwah Zulfarhan, walaupun risiko yang dihadapi pada ketika itu bukanlah kecil.
Dalam pada itu, kejadian malang yang menimpa Zulfarhan Osman Zulkarnain masih meninggalkan kesan mendalam kepada masyarakat, mengingatkan kita semua tentang pentingnya keberanian untuk melawan ketidakadilan dan kezaliman. Kisah surat layang yang ditulis oleh Aiman Aufa menjadi simbol harapan dan usaha yang tidak mengenal putus asa demi menyelamatkan nyawa seorang sahabat.
Kredit: Instagram aufa_aimann