Suasana di sebuah pusat hiburan di Melaka Raya bertukar kecoh awal pagi tadi selepas tercetus satu insiden rusuhan dipercayai berpunca daripada rasa tidak puas hati terhadap pemilihan lagu.
![]()
Pemilihan Lagu Cetus Kekecohan, Polis Tahan Enam Individu
Menurut pihak polis, kejadian yang berlaku sekitar jam 4 pagi itu dipercayai bermula akibat provokasi serta salah faham melibatkan empat individu yang berada di bawah pengaruh alkohol. Keadaan menjadi semakin tegang apabila kekecohan tersebut menarik perhatian orang awam yang berada di lokasi, sekali gus mencetuskan rusuhan kecil.
Susulan kejadian berkenaan, Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Melaka Tengah dengan bantuan JSJ Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Melaka telah menahan enam lelaki berusia antara lingkungan 20-an hingga 40-an bagi membantu siasatan. Dalam operasi tangkapan itu, polis turut merampas sepucuk pistol yang disyaki senjata tiruan daripada salah seorang suspek.
Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Christopher Patit memaklumkan bahawa pihaknya turut mengambil keterangan daripada 12 saksi bagi membantu siasatan lanjut. Beliau menegaskan bahawa hasil siasatan awal mendapati tiada sebarang bunyi letupan senjata api didengari sepanjang insiden tersebut berlaku.
![]()
Penjelasan itu dibuat bagi menafikan dakwaan yang tular di media sosial berhubung kononnya berlaku tembakan dan penemuan kelongsong peluru di lokasi kejadian. Pihak polis menegaskan bahawa maklumat tersebut tidak benar dan orang ramai diminta supaya tidak membuat sebarang spekulasi atau menyebarkan maklumat yang tidak sahih.
Ketika ini, kesemua suspek sedang disiasat di bawah beberapa peruntukan undang-undang, termasuk Seksyen 36 Akta Senjata 1960 kerana memiliki senjata tiruan, Seksyen 506 Kanun Keseksaan berkaitan ugutan jenayah, serta Seksyen 147 Kanun Keseksaan kerana terlibat dalam rusuhan.
Orang ramai turut dinasihatkan agar sentiasa mematuhi undang-undang serta bekerjasama dengan pihak berkuasa dengan tidak menyebarkan khabar angin yang boleh menimbulkan kegusaran awam.
Kredit: Kosmo!