Seorang lelaki gelandangan berusia 49 tahun dikenali sebagai Ram (bukan nama sebenar) mendedahkan pengalaman tidak menyenangkan apabila menjadi mangsa ‘eksperimen sosial’ tiga remaja, yang kemudiannya tular di media sosial.

Rakaman Eksperimen Sosial Tular, Gelandangan Pilih Maafkan Pelaku

Insiden yang berlaku beberapa hari lalu di kawasan Jalan Meldrum itu menarik perhatian ramai selepas rakaman video tersebut memaparkan tiga remaja menikmati ayam goreng daripada restoran makanan segera, sebelum memasukkan tulang ayam ke dalam bungkusan nasi dan menyerahkannya kepada Ram.

Dalam video tersebut, Ram kelihatan terkejut sebaik membuka bungkusan itu, namun tetap mengucapkan terima kasih kepada pemberi.

“Saya terkial-kial bangun ketika mereka datang. Tak sangka bungkusan itu rupanya hanya berisi sisa makanan. Saya tak tahu niat sebenar mereka, tapi saya tidak marah, cuma terkejut. Mereka juga ada beri saya satu lagi bungkusan makanan yang berbeza,” katanya.

Ram yang berasal dari Perak berkata, selepas video tersebut tular, ramai penduduk tempatan dan pengunjung sekitar datang menemuinya untuk menghulurkan makanan serta menyatakan simpati. Ada juga yang memohon maaf atas tindakan remaja berkenaan.

“Saya anggap mereka seperti adik-adik sendiri dan saya maafkan. Cuma saya harap perkara seperti ini tidak berulang kepada gelandangan lain,” ujarnya.

Menurut Ram, beliau telah lama hidup di jalanan dan tidak mempunyai pekerjaan, namun tidak pernah menimbulkan masalah kepada sesiapa. Walaupun berdepan pelbagai dugaan, beliau menerima kehidupannya dengan reda dan berusaha untuk kekal positif.

Tambahnya lagi, pihak berkuasa telah mengambil tindakan terhadap remaja terbabit, namun beliau memilih untuk tidak mencampuri urusan itu.

“Itu antara mereka dengan pihak berkuasa. Saya tak ada kuasa untuk menghalang atau campur tangan. Harap perkara ini dapat diselesaikan dengan baik,” katanya.

Sebelum ini, salah seorang remaja yang terlibat tampil memohon maaf secara terbuka, mendakwa rakaman tersebut hanyalah eksperimen sosial yang kononnya mendapat persetujuan daripada Ram. Namun, video itu tetap mengundang kecaman netizen yang menganggap tindakan memberi sisa makanan kepada gelandangan sebagai biadab dan tidak sensitif.

Ram yang fasih berbahasa Inggeris berkata, sejak insiden itu menjadi perhatian, beberapa wakil media dan pempengaruh turut hadir menemu bualnya. Namun, beliau berharap agar peristiwa ini dapat dijadikan pengajaran buat semua pihak.

Kredit: Harian Metro, News Strait Times

[fbcomments]