Penyanyi dan pelakon popular, Bella Astillah mengakui terkejut apabila diumumkan sebagai penerima Anugerah Ikon Ibu Muda sempena sambutan Hari Ibu Peringkat Kebangsaan 2025 yang berlangsung di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC) pada Ahad semalam.

Bella Astillah Terima Anugerah Ikon Ibu Muda Peringkat Kebangsaan 2025

Penghargaan tersebut disampaikan oleh isteri kepada Yang di-Pertua Negeri Sabah, Toh Puan Faridah Tussin, dan disaksikan oleh Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Nancy Shukri serta isteri Ketua Menteri Sabah, Datin Seri Juliah Salag.

Menurut Bella, 31, anugerah berbentuk sijil, selempang dan sejambak bunga itu disifatkan sebagai rezeki buat dirinya dan anak-anak.

“Pada awalnya, saya macam tidak percaya jadi saya tanya pada pengurusan, mereka mengatakan memang betul saya diberi anugerah (Ikon Ibu Muda). Saya cukup gembira dan ia perasaan yang tidak dapat digambarkan,” katanya ketika ditemui media.

Tambah selebriti bernama sebenar Dayang Ara Nabeela Awang Astillah itu, meskipun masih ramai ibu muda lain yang lebih layak, beliau percaya penghargaan tersebut adalah satu bentuk motivasi untuk dirinya terus menjadi ibu yang lebih baik.

“Saya percaya saya pun pasti banyak kekurangan dan tidak sempurna sebagai seorang ibu, tapi dengan adanya penghargaan seperti ini, sudah tentu saya mahu buat yang terbaik untuk menjadi ibu terbaik,” jelasnya.

Sebagai ibu tunggal kepada dua anak, Bella turut berkongsi cabaran membesarkan anak-anak dalam kesibukan kerjaya, namun tetap mengutamakan masa bersama mereka.

“Sebenarnya apa yang mereka perlukan adalah kasih sayang dan sebagai ibu seperti saya ini, di mana saya juga seorang bapa, saya mengutamakan masa kerana untuk anak-anak saya, kewangan bukan keutamaan kerana di usia kecil mereka ini, mereka perlukan ‘bonding time’.

“Sebab itulah masa macam ini sangat berharga. Apabila mereka membesar, mereka akan ingat di mana walaupun saya sibuk mencari rezeki tetapi mereka nampak kesungguhan ibu mereka untuk terus selit masa, menggembirakan dan meluangkan masa bersama mereka,” ujar Bella.

Jelasnya lagi, pengalaman menjadi ibu muda banyak mengajarnya tentang erti pengorbanan, malah beliau berharap anugerah ini dapat memberikan inspirasi kepada ibu-ibu lain.

“Kita harus sentiasa mara ke depan dan jangan terlalu memikirkan apa yang akan terjadi kerana itu bukan urusan kita. Kita hanya lalui proses ini dengan tawakal dan berlapang dada.

“Selepas itu, kita serahkan kepada Allah. Apa yang penting kita nikmati setiap detik buat masa ini, apa yang ada dengan kita, kita bersyukur… itu adalah kunci utama,” katanya.

Tegasnya, setiap ibu mempunyai kisah tersendiri, dan setiap pengorbanan yang dilakukan adalah bukti kasih sayang yang tidak ternilai.

Kredit: Berita Harian, Instagram nancy.shukri

 

 

[fbcomments]