fbpx

Sepasang suami isteri dilaporkan maut dalam keadaan rentung apabila kereta yang dinaiki mereka terlibat dalam kemalangan di Jalan Bukit Mantin menghala ke Seremban pada pagi Isnin.

Tak Sempat Beli Baju Raya Anak

Memetik laporan Buletin TV3, difahamkan mangsa iaitu Noor Azeana Azreen dan suaminya Abdul Halim Mat Rani dikatakan dalam perjalanan dari rumah mereka di Beranang ke rumah keluarga di Seremban untuk mengambil anak-anaknya bagi membeli kelengkapan menyambut Hari Raya Aidilfitri yang bakal tiba esok.

“Saya ada hubungi anak perempuan saya kelmarin, dia beritahu hari ini mahu beli baju raya anak-anaknya semalam. Cucu-cucu saya ini empat orang masih kecil, berusia dari 12 tahun hingga tiga tahun…kami mendapat berita tentang kemalangan ini pagi semalam,” kata bapa kepada Allahyarhamah Noor Azeana Azreen.

Meninggal Dunia Di Tempat Kejadian

Sementara itu, Timbalan Ketua Polis Daerah Nilai iaitu Mat Ghani Lateh memaklumkan bahawa terdapat satu kebakaran melibatkan sebuah kenderaan jenis BMW yang terbakar seratus peratus, akibat bertembung dengan sebuah lori milik syarikat pembersihan swasta.

Katanya, pada kejadian 10.25 pagi semalam, berlaku kemalangan jalan raya di jalan Bukit Mantin menghala ke Seremban melibatkan dua mangsa iaitu seorang lelaki berusia 34 tahun bersama seorang wanita umur 32 tahun.

“Siasatan awal mendapati semasa kejadian pemandu kereta jenis BMW yang dalam perjalanan itu ingin memotong kenderaan di hadapannya sebelum hilang kawalan dan terbabas masuk ke laluan bertentangan, sebelum bertembung dengan lori jenis Isuzu hingga mengakibatkan kereta tersebut terbakar.

“Akibat daripada kemalangan ini, pemandu dan penumpang kereta itu tersepit di dalam kereta didapati telah rentung dan meninggal dunia di tempat kejadian,” jelasnya.

Beliau berkata pemandu lori tersebut mengalami kecederaan ringan luka-luka di bahagian tangan dan kepala.

Kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) APJ 1987.

Kredit: Buletin TV3

[fbcomments]