Seorang remaja lelaki yang dikenali sebagai Muhammad Shahrul Mansor, 23, meluahkan rasa hiba apabila ibunya iaitu Rosidah Abdul Khalid meninggal dunia sehari sebelum hari konvokesyen akibat serangan jantung.
Ibu Pergi Sehari Sebelum Majlis Konvokesyen
Berdasarkan sumber yang dilihat dari Harian Metro, difahamkan situasi menjadi lebih menyayat hati apabila Rosidah menghembuskan nafas terakhirnya pada 27 November lalu iaitu sehari sebelum Muhammad Shahrul menerima skrol ijazah Sarjana Muda Keusahawanan Inovasi dalam majlis konvokesyen di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) Bangi, Selangor.
“Pagi sehari sebelum kejadian, saya ada bersembang menerusi telefon dengan emak dan dia ada bertanya nak gerak jam berapa dan pakai baju apa untuk ke konvokesyen. Emak juga pesan untuk ingatkan alang (abang) ambil cuti supaya dapat menemankannya ke majlis konvokesyen. Petang hari sama, saya terima panggilan daripada abah yang beritahu emak sudah tiada. Terdiam juga waktu itu kerana dapat berita tak lama selepas bersembang dengannya (emak),” luahnya ketika dihubungi Harian Metro.
Shahrul Dapat Petunjuk Ibu Pergi Melalui Mimpi
Menurut Shahrul lagi, beliau mendedahkan bahawa beliau ada menerima petunjuk melalui mimpi lima hari sebelum ibunya pergi buat selamanya. Katanya, dalam mimpi tersebut ibunya meninggal dunia, cuma beliau dan kembarnya Muhammad Khairul Mansor, 23, tidak dapat menemui dimana pusaranya ibunya terletak.
“Saya ada kongsi kisah mimpi itu dalam kumpulan WhatsApp keluarga cuma tak beritahu individu yang meninggal dunia itu adalah emak kerana bimbang menyinggung perasaannya. Jadi, saya diamkan saja dan Jumaat minggu yang sama, emak ajak teman dia ke bank untuk uruskan berkaitan wang Amanah Saham Bumiputera (ASB) kerana tak nak lagi ada urusan dengan bank.
“Pelik juga namun saya tak fikir itu petanda emak nak pergi dan keesokannya, kami keluar makan bersama serta teman saya gunting rambut. Sebelum saya pulang ke rumah sewa, emak masakkan sambal sotong dan itu masakan terakhirnya yang saya masak sebelum dia meninggal dunia, dua hari kemudian,” ujarnya.
Sedih Ibu Tak Dapat Tengok Kejayaan Yang Dikecapi Shahrul
Shahrul akui sedih kerana tidak dapat meraikan kejayaannya itu bersama ibu tercinta yang banyak membantu dan memberi sokongan serta dorongan sepanjang beliau bergelar pelajar Universiti.
“Sepanjang tempoh tiga tahun pengajian, saya pernah nak putus asa tetapi mak bagi semangat kata saya boleh lakukan. Apabila pengacara majlis minta tunjuk ibu bapa yang berjuang hingga berjaya, saya tunduk menangis kerana mengenangkan emak yang sudah tiada. Tapi saya cuba senyum juga dengan ambil gambar bersama potret emak dan abah yang tak datang kerana kurang sihat.
“Sedih sangat tapi bersyukur kerana saya dan adik beradik berpeluang uruskan jenazah emak daripada awal hingga pengebumiannya di Tanah Perkuburan Islam Kampung Sepri, Jelebu, Negeri Sembilan kira-kira 7.40 malam hari sama arwah meninggal dunia,” jelasnya di akhir kata.
Kredit: Harian Metro