fbpx

Sepasang kembar lelaki baru-baru ini dilaporkan maut selepas motosikal Yamaha Y16 yang dinaiki mereka terlibat kemalangan dengan sebuah van di Jalan Rizab Derahman, Jeram. Difahamkan kejadian berlaku kira-kira jam 11.50 pagi ketika kedua-dua mangsa sedang menuju ke tempat kerja di Puncak Alam.

Tak Sempat Potong Kek Hari Jadi

Memetik sumber dari Sinar Harian, dikatakan salah seorang dari pasangan kembar sempat memberitahu ibu mereka iaitu Salmah Mat Jasmin, 48, untuk membeli kek dua tingkat sebelum pasangan kembar tersebut maut dalam kemalangan di Jeram pada Selasa lepas.

Shahrom Ahmad, 63, iaitu bapa tiri pasangan kembar itu memaklumkan bahawa pesanan terakhir tersebut diungkap oleh Muhammad Arif Mohd Ashar, 18, ketika menghubungi Salmah sewaktu beliau dan isteri mendapatkan rawatan di Klinik Kesihatan Ijok sehari sebelum nahas dan mengorbankan dua nyawa kembar berkenaan.

“Sebenarnya ulang tahun kelahiran kedua-dua beradik kembar pada 5 Oktober lalu, namun arwah (Muhammad Arif) beritahu ingin menyambut sekali dengan abang ketiganya. Kami membeli kek dua tingkat dan satu lagi kek untuk abang mereka, tetapi hati kami luluh mengenangkan kek hari jadi ini tak sempat mereka jamah,” katanya pada Rabu.

Cadang Nak Sambut Hari Jadi Pada Malam Selasa, Namun Jenazah Yang Singgah Ke Rumah

Shahrom turut memberitahu kek yang mereka pesan itu sepatutnya dijamah dan disambut pada malam Selasa bersama-sama keluarga.

“Kebetulan pada (Isnin) malam, mereka dari tempat kerja pulang lewat ke rumah dan kami pula sudah tidur. Kami cadang hendak sambut malam semalam (Selasa), tetapi hanya jenazah mereka sahaja singgah di rumah ini buat tatapan kali terakhir,” jelas Shahrom lagi.

Pada mulanya Shahrom hanya ingat Muhammad Arif sahaja yang terkorban dalam kemalangan tersebut, namun sebaik sahaja beliau tiba di tempat kejadian, beliau terlihat dua mayat sudah ditutupi kain putih yang turut mengorbankan nyawa Muhammad Hafis.

“Saya terkejut apabila orang ramai yang ada di tempat kejadian memaklumkan dua kembar sudah tidak bernyawa. Saya sudah menjaga mereka sejak kecil lagi dan hubungan kami mereka rapat, malah saya akui terkesan dengan pemergian mereka”, luah Shahrom dalam nada pilu.

Hasrat Tak Kesampaian Nak Sertai Badan Uniform

Menurut abang pasangan kembar itu pula iaitu Muhammad Zulhelmi,23, beliau mendedahkan bahawa kedua-dua adiknya itu baru sahaja menamatkan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan amat bercita-cita tinggi untuk membina kerjaya pada masa hadapan. Malah mereka juga memasang impian untuk menjadi anggota polis dan tentera. Namun apakah daya, ajal mereka menyambut terlebih dahulu.

Jenazah pasangan kembar itu selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Bukit Kuching Tengah pada Selasa petang.

Kredit: Sinar Harian

[fbcomments]