Dua beradik lelaki dilaporkan maut selepas terlibat dalam kemalangan bertembung dengan sebuah kereta Toyota Vios ketika dalam perjalanan pulang ke rumah dari memancing, dalam kejadian di Jalan Teroi Titi Lahar di Yan pada malam semalam.
Dua Beradik Lelaki Maut Ketika Pulang Dari Memancing
Memetik laporan Harian Metro, bapa kepada mangsa iaitu Mohd Delmi Mat Isa, 54, memaklumkan bahawa dia telah berjanji dengan Ahmad Firashi Mohd Delmi, 11, untuk membawanya menggunting rambut petang semalam untuk persiapan menyambut hari raya Aidiladha.
Difahamkan, kejadian yang menimpa Ahmad Firashi dan abangnya, Muhammad Zulqarnain, 22, ketika mereka dalam perjalanan pulang ke rumah selepas memancing di Sungai Dedap, Yan.
“Malah kakaknya (Nurin Afiqah, 23) juga berjanji hendak membawa Ahmad Firashi ke Pekan Jeniang petang semalam untuk membeli barangan kelengkapan raya.
“Namun tak sangka kemalangan itu berlaku sehingga meragut nyawa dua anak saya itu malah nak sambut raya esok pun dah tak semangat kerana saya kehilangan mereka buat selama-lamanya,” ceritanya.
Bapa Terkilan Hilang 2 Anak Sekelip Mata
Mohd Delmi yang juga merupakan pemandu bas turut meluahkan kemalangan yang menimpa dua anaknya itu amat perit untuk diterima kerana mereka sedang melakukan persiapan untuk menyambut Hari Raya Aidiladha, namun diuji dengan takdir yang sukar untuk ditelan.
“Kali terakhir saya bertemu dengan dua anak saya itu pada jam 10 pagi semalam iaitu sewaktu Muhammad Zulqarnain dan Ahmad Firashi sedang bersiap untuk pergi memancing.
“Saya agak terkilan kerana gagal menghalang mereka untuk pergi memancing disebabkan Ahmad Firashi masih demam,” katanya.
Tambah Mohd Delmi lagi, anak ketiga dan kelima dari enam beradik itu memang rapat dan dia serta isterinya, Siti Nur Zakaria, 47, masih terkejut dengan apa yang terjadi.
Difahamkan mereka mengetahui kejadian itu selepas dimaklumkan oleh seorang rakan yang datang ke rumahnya selepas solat Maghrib malam tadi memaklumkan dua anaknya terbabit dalam kemalangan itu.
“Saya terus ke Unit Forensik Hospital Yan dan untuk melihat keadaan dua anak kami dan saya serta isteri hampir pengsan sebaik melihat jenazah dua anak kami yang sudah kaku ketika itu,” katanya.
Jenazah dua anaknya itu telah selamat dikebumikan di tanah perkuburan Islam Masjid Al-Maarifi, Jeneri, pagi tadi.
Pemandu kereta Toyota Vios yang turut terlibat dalam kemalangan tersebut, berumur 61 tahun pula cedera di bahagian dada.
Kredit: Harian Metro