Sekumpulan penunggang motosikal yang cuba melarikan diri daripada sekatan jalan raya akhirnya ditahan dalam operasi khas bersepadu yang dijalankan untuk membanteras samseng jalanan di Pantai Lido, Skudai, Johor Bahru, baru-baru ini.
Kejadian tersebut direkodkan melalui dashcam seorang pengguna jalan raya dan seterusnya disebarkan di media sosial.
Video di bawah:
https://x.com/borg_cyber/status/1827907836678197700
Polis JBS Guna Bas Halang Kumpulan Samseng Jalan Raya
Dalam video yang tular itu, polis menggunakan strategi ‘parking bas’ dengan meletakkan dua buah bas untuk menyekat kumpulan motosikal yang berusaha melarikan diri.
Menurut sumber dari Buletin TV3, Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan iaitu Asisten Komisioner Raub Selamat menjelaskan bahawa operasi ini telah membuahkan hasil dengan pemeriksaan sebanyak 286 individu dan 257 kenderaan. Daripada jumlah tersebut, 115 motosikal telah disita di bawah seksyen 64, Akta Pengangkutan Jalan (JPJ) 1987 untuk pemeriksaan lanjut.
Operasi yang berlangsung selama dua hari ini bermula dari pukul 5 petang hingga 1 pagi melibatkan lebih 100 pegawai dan anggota penguatkuasa dari pelbagai agensi. Di ruangan komen video tersebut, majoriti netizen menyatakan kepuasan mereka terhadap taktik polis yang berkesan dalam menumpaskan kumpulan samseng jalanan tersebut.
Selain saman JPJ, Jabatan Alam Sekitar (JAS) juga telah mengeluarkan 46 saman kompaun dan 52 notis arah periksa kepada individu yang menunggang motosikal dengan bunyi yang melebihi paras yang ditetapkan. Langkah ini diambil bagi memastikan keselamatan dan ketenteraman awam di kawasan tersebut tetap terjaga.
Kredit: Buletin TV3, X borg_cyber