Sebuah majlis perkahwinan di Thailand pada 25 November lalu bertukar tragedi apabila pengantin lelaki telah menembak empat orang termasuk pengantin perempuannya sebelum melepaskan tembakan ke arah dirinya sendiri.
Pengantin Lelaki Tersebut Ialah Atlet Renang Paralimpik Kebangsaan
Menurut sumber Harian Metro, kejadian tersebut berlaku di wilayah Nakhon Ratchasima, Thailand dan pengantin lelaki tersebut merupakan atlet renang paralimpik kebangsaan yang mewakili Thailand. Suspek iaitu Chaturong Suksuk dan pasangannya, Kanchana Pachunthuek difahamkan telah menjalinkan hubungan selama tiga tahun sebelum mereka mengikat tali perkahwinan.
Namun menurut sumber dari The Strait Times pula, dikatakan pada hari perkahwinan pengantin lelaki (suspek) langsung tidak kelihatan gembira sehinggalah pada satu ketika beliau meninggalkan majlis tersebut sebentar.
Seorang Dilaporkan Meninggal Dunia
Mengulas lanjut, apabila suspek kembali semula ke majlisnya, orang ramai terlihat suspek kembali dengan memegang pistol sepanjang 9mm. Tidak lama selepas itu, suspek bertindak melepaskan tembakan terhadap pengantin perempuan, ibu dan adik perempuan isterinya.
Susulan kejadian itu, kesemua mangsa telah dikejarkan ke hospital dan salah seorang daripada mereka dilaporkan telah meninggal dunia. Siasatan awal mendapati pasangan itu bertengkar semasa majlis dan saksi berkata pertengkaran tercetus adalah disebabkan pengantin lelaki rasa tidak selamat kerana takut isterinya akan meninggalkannya untuk lelaki lain kerana kecacatannya.
Sekadar info, Encik Chaturong, bekas renjer separa tentera, kehilangan kaki kanannya dalam kemalangan semasa bertugas.
Kredit: Harian Metro, The Strait Times