Seorang pengawal keselamatan berusia 65 tahun di Kemaman membuat laporan palsu dengan mendakwa dirinya telah disamun oleh dua lelaki Rohingya kerana takut dimarahi isterinya selepas wang gajinya habis dibelanjakan, termasuk dipinjamkan kepada seorang rakan wanita.
Buat Laporan Palsu Sebab Takut Isteri Marah Gaji Dah Habis
Ketua Polis Daerah Kemaman iaitu Superintendan Hanyan Ramlan mendedahkan bahawa lelaki itu mula-mula membuat laporan di Balai Polis Chukai sekitar jam 8 pagi, mendakwa kejadian itu berlaku ketika dia dalam perjalanan pulang ke rumah di Teluk Kalong selepas mengeluarkan wang di sebuah stesen minyak di Kijal.
Lelaki tersebut mengaku bahawa dia telah memberhentikan keretanya untuk membantu seorang lelaki Rohingya yang memohon bantuan menghantar rakannya yang kononnya terbaring dan memerlukan rawatan. Namun, ketika keluar dari kenderaan, lelaki itu mendakwa dia diserang, dengan seorang lelaki Rohingya mengacukan pisau dari belakang, manakala lelaki yang terbaring tadi bangun dan mengacukan parang di perutnya.
Menurut pengawal keselamatan itu, kedua-dua lelaki Rohingya tersebut kemudian mengambil RM1,100 dari poketnya sebelum melarikan diri dengan motosikal. Namun, selepas siasatan lanjut oleh pihak polis, lelaki itu akhirnya mengaku bahawa cerita samun tersebut hanyalah rekaan semata-mata kerana dia terdesak dan takut untuk memberitahu isterinya bahawa wang gajinya sudah habis digunakan.
Dia juga mengakui telah meminjamkan sebahagian wang itu kepada seorang rakan wanita yang dikenalinya selama tiga tahun.
Kes ini kini disiasat di bawah Seksyen 182 Kanun Keseksaan kerana membuat laporan palsu.
Kredit: Harian Metro