Baru-baru ini, satu operasi bersepadu oleh KL Strike Force melibatkan pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Imigresen Malaysia (JIM), dan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) telah dilancarkan di sekitar KLCC, menyasarkan aktiviti tidak berlesen oleh jurugambar jalanan.

Difahamkan, hampir 30 individu yang menawarkan perkhidmatan fotografi kepada orang awam tanpa kebenaran sah dikenakan tindakan kompaun mengikut Undang-Undang Kecil (UUK) 3(1) UUK Pelesenan Penjaja Wilayah Persekutuan 2016.

Jurugambar Jalanan Di KLCC Dikompaun, Didakwa Tawar Perkhidmatan Tanpa Kebenaran

Wartawan yang turut menyertai operasi tersebut memaklumkan keadaan pada mulanya terkawal, walaupun terdapat sedikit kekecohan melibatkan seorang individu yang enggan memberikan kerjasama kepada pihak berkuasa. Bagaimanapun, insiden itu berjaya dikendalikan secara profesional tanpa sebarang kejadian tidak diingini.

Seorang daripada jurugambar yang dikenakan tindakan menyatakan kekesalan dan terkejut dengan jumlah kompaun yang dikenakan, iaitu sebanyak RM2,000. Menurutnya, ini adalah kali pertama dia dikenakan saman atas kesalahan menjalankan perkhidmatan fotografi menggunakan telefon pintar di kawasan awam.

“Kami hanya cuba cari rezeki, tak sangka pula boleh kena kompaun. Kalau hari-hari kena macam ni, kena fikir kerja lain lah,” katanya yang enggan namanya didedahkan.

Jurugambar itu turut memaklumkan bahawa pihak berkuasa memberi bayangan tentang kemungkinan pengeluaran lesen bagi membolehkan mereka beroperasi secara sah di kawasan tersebut.

“Katanya mungkin nanti ada lesen, jadi kita tunggu sajalah arahan lanjut,” ujarnya lagi.

Mengulas isu tular baru-baru ini yang mendakwa jurugambar jalanan mengambil kesempatan terhadap pelancong asing, seorang pemuda dalam kalangan mereka menjelaskan bahawa insiden berkenaan kemungkinan besar berlaku akibat salah faham dalam komunikasi antara kedua-dua pihak.

“Setahu saya, ia berlaku sebab susah nak faham bahasa masing-masing. Tapi benda dah jadi, sekarang semua kena tanggung kesannya,” katanya ketika ditemui.

Operasi yang bermula sekitar jam 9 malam itu turut disertai oleh Pengarah Imigresen Kuala Lumpur, Wan Mohammed Saupee Wan Yusoff.

Kredit: Berita Harian

 

[fbcomments]