Seorang pelajar lelaki Tingkatan Lima ditahan polis selepas disyaki terlibat dalam kejadian tragis yang meragut nyawa ibu dan abang kandungnya di sebuah rumah di Taman Rambai Mutiara, Bukit Rambai, di sini awal pagi Khamis.
![]()
Pelajar Tingkatan Lima Ditahan, Disyaki Tikam Ibu & Abang Hingga Maut Akibat Tekanan Belajar
Menurut siasatan awal polis, suspek dipercayai bertindak menikam ibunya yang merupakan seorang guru, sebelum abangnya cuba menyelamatkan wanita tersebut. Dalam pergelutan yang berlaku, kedua-duanya maut akibat ditikam.
Kejadian disedari selepas orang awam menemukan seorang remaja lelaki berlumuran darah di luar rumah sebelum menghubungi pihak berkuasa. Polis yang tiba di lokasi kemudian menemui dua mayat di ruang tamu kediaman, manakala seorang lagi mangsa cedera parah di bahagian luar rumah.
![]()
Ketua Polis Melaka, Datuk Zulkairi Mukhtar memaklumkan, mangsa yang maut ialah seorang ibu tunggal berusia 51 tahun dan anak sulungnya berusia 21 tahun, manakala seorang lagi anak berusia 13 tahun kini sedang dirawat di Hospital Melaka.
Beliau berkata, siasatan awal mendapati motif kejadian berkemungkinan berpunca daripada tekanan perasaan yang dialami suspek akibat sering dimarahi kerana keputusan akademik. Suspek yang bakal menduduki peperiksaan SPM dipercayai terbeban dengan harapan tinggi ibunya sebagai seorang pendidik.
![]()
Turut dimaklumkan, jiran-jiran sering mendengar pertengkaran berlaku dalam rumah berkenaan sebelum kejadian. Dalam insiden tersebut, suspek dipercayai cuba melarikan diri selepas membuang pakaian berdarah ke kawasan semak berhampiran. Polis turut menemui senjata dipercayai digunakan dalam kejadian, iaitu sebilah pisau lipat yang disorokkan dalam beg sekolah suspek.
Suspek akan dibawa ke Mahkamah Ayer Keroh bagi permohonan reman, manakala kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.
Kredit: Harian Metro