Sebuah perjalanan biasa bertukar menjadi tragedi apabila tiga individu termasuk sepasang suami isteri maut dalam kebakaran teksi di Kampung Lanchang, Jalan Jasin pada pagi Khamis.
Kejadian yang mengejutkan itu berlaku apabila teksi tersebut dipercayai hilang kawalan sebelum terbabas dan melanggar tembok jambatan, menyebabkan ia terbakar di lokasi kejadian.
Tiga Individu Rentung Dan Meninggal Dunia Di Lokasi Kejadian
Pasangan suami isteri iaitu Husali Umar, 84, dan Mastura Said, 60, dilaporkan dalam perjalanan ke rumah anak mereka di Merlimau, sementara pemandu teksi, S. Subbramaniam, 71, turut terkorban dalam insiden itu.
Menurut Ketua Polis Daerah Jasin, Deputi Superintendan Ahmad Jamil Radzi, pihaknya menerima laporan daripada orang awam sekitar jam 9.30 pagi dan segera menghantar sepasukan anggota ke tempat kejadian untuk menyiasat.
“Hasil siasatan awal kemalangan dipercayai berlaku apabila teksi yang dalam perjalanan dari Jasin menghala ke Merlimau dipercayai hilang kawalan dan terbabas melanggar tembok jambatan.
“Akibat perlanggaran itu kereta mengalami kebakaran dan menyebabkan semua mangsa terbakar seluruh badan dan disahkan maut di tempat kejadian oleh petugas perubatan,”katanya.
Ketiga-tiga mangsa ditemui dalam keadaan rentung dan telah disahkan meninggal dunia di tempat kejadian oleh pasukan perubatan yang tiba.
Jenazah semua mangsa telah dibawa ke Unit Forensik Hospital Jasin untuk proses bedah siasat. Kes ini kini disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Pasangan warga emas tersebut, yang berasal dari Semujuk, dipercayai duduk di bahagian belakang teksi ketika insiden berlaku. Kejadian tragis ini turut mengundang rasa simpati daripada masyarakat, terutama kepada keluarga mangsa yang kehilangan insan tersayang secara tiba-tiba.
Kredit: Harian Metro